Calon Pakatan Harapan N.16 Sungai Tua yang juga calon Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Pelancaran Tawaran Kita Selangor 5 Tekad Untuk 5 Tahun dan Sesi Pengenalan Calon-Calon Perpaduan Selangor sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 31 JULAI 2023.

SHAH ALAM – Pihak pengurusan masjid sepatutnya tidak memberi ruang kepada menteri atau pemimpin parti memberi ucapan kerana ia jelas melanggar undang-undang di Selangor.

Teguran berkenaan disuarakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari selepas isu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang didakwa berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang tular baru-baru ini.

Katanya, semua pihak perlu berhati-hati dan tidak melanggar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan ketetapan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Kadang-kadang memang perkara yang menjadi dilema dan berbelah bagi kepada pemimpin-pemimpin datang pihak tuan rumah menjemput, kalau kita tolak nanti dikata sombong.

“Tapi ia harus bermula dengan pihak pentadbir masjid dahulu, supaya mereka berhati-hati dan patuh titah tuanku sebagai ketua agama dalam negeri kita.

“Cukuplah sekadar nazir mengumumkan kehadiran menteri atau pemimpin sebagai tanda hormat tidak perlulah bagi ruang berucap kerana itu memang yang terdapat dalam peraturan dalam negeri Selangor,” katanya ketika sidang media selepas Pelancaran Tawaran Kita Selangor 5 Tekad untuk 5 Tahun dan Sesi Pengenalan Calon-calon Perpaduan Selangor di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, adalah menjadi tanggungjawab Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menjalankan siasatan berasaskan aduan yang diterima.

Baru-baru ini tular gambar Fahmi di media sosial ketika berucap di ruang solat utama di sebuah masjid di Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang  pada Ahad lalu.

Bagaimanapun beliau menerusi Facebooknya menafikan dakwaan bahawa beliau berkempen di masjid berkenaan.

Sebaliknya Fahmi hanya singgah di situ untuk menunaikan solat Zohor kerana ia masjid paling dekat dengan lokasi programnya.

Beliau turut memberitahu dijemput oleh kariah masjid bagi mengulas isu kumpulan The 1975 ketika berada di masjid tersebut.- MalaysiaGazette