Calon Pakatan Harapan (PH) N.22 Gurun, Firdaus Johari melawat penduduk yang mempunyai penyakit kronik semasa berkempen sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Kedah di Kampung Pulau Chengal, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2023.

GURUN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Mohammed Firdaus Johari tidak mahu dibayangi imej bapanya.

Malah beliau mahu berdiri sendiri daripada terus dikaitkan dengan legasi Tan Sri Johari Abdul yang pernah menang di DUN Gurun satu masa dahulu.

Walaupun begitu, Mohammed Firdaus tetap menjadikan pengalaman ‘di sebalik tabir’ dalam dunia politik ketika membantu bapanya sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat di DUN Gurun dan Parlimen Sungai Petani sebagai sandaran meraih sokongan pengundi pada 12 Ogos depan.

“Ya, itu menjadi keutamaan (berdiri di atas kaki sendiri) walaupun (masyarakat) di luar banyak sebut tentang politik (nepotism) sebegitu dan sebut mengenai imej dan sebagainya tapi dalam perjalanan politik itu mempunyai satu niat dan hala tuju tersendiri.

“Masing-masing berpijak pada lapangan yang berlainan dan masing-masing akan bekerja mengikut kemampuan dan perkhidmatan kepada rakyat tanpa terkait dengan sesiapa,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam, Mohammed Firdaus menyangkal dakwaan ada unsur nepotisme dalam pemilihannya sebagai calon bagi kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Sebaliknya anak kepada Speaker Dewan Rakyat itu menegaskan pemilihannya untuk mewakili kerusi yang pernah disandang bapanya itu adalah berdasarkan kredibiliti serta selari dengan kehendak pucuk pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH).

Calon Pakatan Harapan (PH) N.22 Gurun, Firdaus Johari selepas melawat penduduk yang mempunyai penyakit kronik semasa berkempen sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Kedah di Kampung Pulau Chengal, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2023.

Ditanya sama ada bapanya, Johari dan adiknya, Dr Mohammed Taufik akan turut serta dalam siri kempen, Firdaus berkata Mohammed Taufik mempunyai tugas lain dalam menjaga dua DUN sempena PRN iaitu DUN Batu Arang dan Sidam..

“Beliau mempunyai tanggungjawab tersendiri dan kami tidak mahu ganggu beliau. Saya mengharapkan doa-doa mereka itu dapat bantu saya.

“Tan Sri (Johari) juga tidak akan turun padang, dia seumpama pengadil yang tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak, jadi beliau menjarakkan diri dan sepenuhnya memberikan sokongan moral daripada jauh sahaja,” katanya.

Untuk rekod, Mohammed Firdaus akan berhadapan saingan satu lawan satu dengan bekas pemain bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di DUN Gurun. – MalaysiaGazette