BUTTERWORTH – Pulau Pinang berjaya mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM200 bilion dalam tempoh 15 tahun sejak 2008, semenjak Pakatan Harapan membentuk kerajaan negeri, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Justeru, katanya, beliau optimis Pulau Pinang akan terus berjaya mencatatkan pertumbuhan yang baik pada masa akan datang berdasarkan kepimpinan padu kerajaan negeri yang dapat membawa kestabilan diperlukan bagi menarik lebih ramai pelabur.
“Di Pulau Pinang memang pelabur yang datang mereka nak lihat seluruh ekosistem dan rantaian bekalan yang penting. Di sini rantaian rantaian bekalan banyak terutama sektor seperti peralatan perubatan, elektrik dan elektronik (E&E) dan sebagainya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini, selepas melakukan tinjauan mesra di Pasar Taman Chai Leng.
Tengku Zafrul berkata, beliau juga ada melakukan tinjauan di kawasan perindustrian terutamanya di Kawasan Perindustrian Perai yang menempatkan banyak syarikat multinasional.
Menurutnya, lebih banyak fokus perlu diberikan kepada kawasan tersebut kerana ia merupakan kawasan yang besar dan penting yang berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, sekali gus dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Seperti yang kita dapat lihat dari segi pelaburan dan perdagangan, itu amat penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang disasarkan untuk tahun-tahun akan datang.
“Mereka (pelabur) datang ke sini untuk berdekatan dengan rantaian dan di sini (Pulau Pinang) yang penting bukan sahaja pelabur antarabangsa tapi juga pelabur domestik.
“Banyak syarikat besar telah berjaya di sini kerana kita ada kawasan perindustrian yang menarik pelabur asing yang memberikan limpahan kepada ekonomi setempat dan juga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sini,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, kawasan Perindustrian Perai juga merupakan antara penerima peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dalam rangka kerja MADANI membabitkan peruntukan RM100 juta untuk menambah baik kawasan perindustrian di seluruh negara.
“Berapa banyak kawasan Perindustrian Perai akan menerima peruntukan (daripada jumlah RM100 juta) itu, kita akan bincangkan dan saya dapat lihat ia amat penting,” katanya. – BERNAMA
Rakyat Penang tak nak PAS dan Mudin Sakau ni…tak pasal2 Penang akan jd mundur mcm Kelantan dan Kedah…