Datuk Mahfuz Omar.

ALOR SETAR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berpendapat tuduhan yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) ditunggangi DAP selama ini sudah lagi tidak relevan.

Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah mendakwa parti kecil dan lemah seperti Gerakan kini sedang menguasai Perikatan Nasional (PN).

Jelas beliau, ini kerana Pas yang merupakan salah satu parti komponen dalam PN terpaksa tunduk kepada Gerakan untuk melepaskan satu kerusi Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri PRN, 12 Ogos ini.

“Nampaknya tohmahan-tohmahan yang mengatakan Pakatan Harapan ditunggani DAP sudah tidak lagi mengisi wajah politik hari ini di negeri ini.

“Tetapi sebaliknya Gerakan parti yang begitu lemah sedang menguasai Perikatan Nasional sehingga Pas sendiri terpaksa memberikan satu kerusi dan ini menunjukkan bahawa dalam Perikatan Nasional, Gerakan kini jadi King Maker.

“Dan bukannya Pas lagi dalam Perikatan Nasional sehingga memaksa parti yang kecil seperti Gerakan yang ditolak rakyat hingga memaksa Pas korban satu kerusi untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Operasi Pilihan Raya PH, di sini, hari ini.

Turut hadir, calon PH DUN Pengkalan Kundor, Datuk Dr. Ismail Salleh.

Pada PRN ini, Mahfuz sekali lagi bertemu dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Radhi Mat Din di DUN Alor Mengkudu.

Beliau mengulas tindakan Pas yang memboikotkan calon PN yang juga Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sebagai calon gabungan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas.

Keadaan itu berikutan tiada jentera Pas hadir memberi sokongan kepada Dominic yang juga Timbalan Presiden PN ketika proses penamaan calon, Sabtu lalu.

Sebaliknya, Ahli Dewan Negara itu hanya ditemani kira-kira 100 penyokong, dipercayai wakil jentera Gerakan dan Bersatu.

Beliau bakal berdepan pencabarnya, Azrul Mahathir Aziz yang mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi meraih sokongan pengundi di DUN Bayan Lepas.

Mengulas lanjut, Mahfuz meluahkan rasa syukur kerana pengagihan kerusi di antaran PH dan Barisan Nasional tidak mencetuskan sebarang masalah malah keputusan yang dibuat tidak menimbulkan rasa tidak puas hati antara parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

Beliau juga memuji sikap terbuka UMNO Bahagian Alor Setar yang tidak menamakan calon di tiga kerusi di bawah parlimen itu dan memberi peluang kepada calon PH untuk bertanding.

Pada PRN ini, Mahfuz sekali lagi bertemu dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Radhi Mat Din di DUN Alor Mengkudu selepas pernah bertembung di Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang kemenangan berpihak kepada Mahfuz.

Namun beliau gagal mempertahankan kersi Parlimen itu pada PRU-15, tahun lalu.

Kawasan itu merupakan antara tarikan kerusi panas dalam Parlimen Alor Setar yang menjadi perhatian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu di kesemua DUN terlibat termasuk Suka Menanti dan Kota Darul Aman. – MalaysiaGazette