Amirudin ketika melancarkan Lima Tekad untuk Lima Tahun Selangor.

SHAH ALAM – Selesai membentangkan Tawaran Kita Selangor, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Seri Amirudin Shari tidak menolak kemungkinan manifesto itu akan disalin tampal oleh Perikatan Nasional (PN).

Katanya, tidak mustahil PN akan meniru apa yang akan dilaksanakan PH negeri itu dengan sedikit sebanyak mengubahnya kerana mereka tiada idea bagaimana untuk menjanjikan kesejahteraan kepada rakyat.

“Saya pasti, ucapan saya ini atau butiran ucapan ini akan ditilik oleh pihak lawan kita dalam PRN ini.

“Kemudian, mereka akan cuba tiru apa yang kita lakukan, mereka akan cuba ubah sikit apa yang kita lakukan kerana realitinya daripada perjalanan politik mereka ini hanya copy paste.

“Sebagaimana parti Bersatu mengaku mewakili suara Melayu, tetapi mereka sebenarnya meniru daripada perjuangan dan UMNO serta Barisan Nasional (BN),” katanya berucap melancarkan Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad untuk Lima Tahun di sini, malam tadi.

Beliau bagaimanapun berkata, perjuangan parti Bersatu tidak layak diberi taraf, selain tiada kelayakan untuk mentadbir dan memimpin Kerajaan Persekutuan.

Katanya, kegagalan itu terbukti apabila kerajaan tebuk atap yang mereka ambil alih dengan perbuatan pemimpinnya melompat parti hanya mampu bertahan selama 18 bulan.

“Begitu juga PN adalah copy paste kepada BN, tetapi perpaduan yang disemai antara PH dengan BN hari ini telah mengumpulkan 19 parti, mendapat majoriti suara dari seluruh pelusuk Malaysia.

“Kita ada parti yang berasaskan kepada kaum tertentu. Ada parti multiracial, Parti Sabah dan Parti Sarawak, sedangkan PN hanya diwakili parti minoriti dan parti copy paste,” katanya.

Menurut Amirudin, sejak PH mengambil alih Selangor pada PRU 2008, pimpinannya memulakan langkah reformasi demi memastikan dasar, institusi dan pentadbiran kerajaan negeri melaksanakan agenda perubahan.

Katanya, bermula dengan agenda merakyatkan ekonomi Selangor yang sekarang dikenali sebagai Iltizam Selangor Penyayang, dalam lima tahun saja kerajaan negeri membelanjakan RM2.3 bilion, iaitu suatu jumlah yang tidak mampu dicapai atau dilakukan mana-mana negeri dan juga mana-mana permuafakatan mahupun perikatan.

“Sebab itu saya yakin dengan tekad dan juga hala tuju ini kita telah buktikan kita mampu membawa kemakmuran dan kestabilan kepada rakyat dalam negeri ini.

“Malah, kita juga turut buktikan dengan reformasi institusi, dalam penggal pertama lagi dengan melakukan reformasi terhadap Dewan Undangan Negeri, kita mahu meletakkan kerajaan ini sentiasa berada dalam landasan dan jalan yang betul.

“Kita melakukan ini tanpa menafikan Selangor telah membangun dan dimajukan oleh pimpinan terdahulu, yang rata-ratanya daripada BN. Mereka membawa kemakmuran ekonomi kepada rakyat,” katanya.

Namun, apabila berlaku perubahan dan peralihan politik pada tahun 2008, PH menerusi kumpulan induknya telah memuncakkan pembangunan itu dengan rencana dan agenda baru.

“Kita membangunkan industri aeroangkasa dan industri rel. Ini semua telah berjaya menyambung kemajuan negeri dan kita menyambung kerja baik yang ditinggalkan oleh BN puluhan tahun yang lepas.

“Lebih-lebih lagi sekarang ini kita dalam agenda perpaduan, PH-BN yang mempunyai tradisi dan sejarah membangunkan negeri ini akan meneruskan Lima Tekad untuk Lima Tahun dengan agenda ekonomi yang direncana dalam Rancangan Selangor Pertama,” ujar beliau. – MalaysiaGazette