Lelaki berpakaian hitam ini disyaki melarikan lori milik syarikat Gardenia di Puchong, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Sebuah lori milik syarikat Gardenia hilang ketika diletakkan di tepi bahu jalan dalam keadaan enjin masih hidup berhadapan Stesen Minyak, Taman Puchong Utama, Puchong, kelmarin.

Kejadian itu berlaku pada 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Daerah Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki yang memandu lori itu telah mengunci pintu kenderaan terbabit sebelum masuk ke stesen minyak untuk membuat transaksi wang di mesin ATM.

Hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian mendapati pada jam 4.24 petang ada seorang lelaki berpakaian baju sejuk hitam dan seluar panjang berwarna hitam serta memakai topi keledar warna kelabu telah melarikan lori berkenaan.

Suspek telah meninggalkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 masih dilaporkan hilang di kawasan Serdang.

Menurutnya, kerugian dianggarkan sebanyak RM40,000.

Wan Azlan berkata, kes diklasifikasikan sebagai curi kenderaan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (Akta 574).

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya) atau Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Mohd Jefri Mohamad di talian 012-9854484.

Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Pada masa sama, polis menasihati orang ramai supaya tidak meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin masih hidup untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku. – MalaysiaGazette