KUALA LUMPUR – Satu perjumpaan khas antara Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan tertinggi MIC akan diadakan esok.

Ia bagi berbincang mengenai ‘krisis dalaman’ yang berlaku  antara MIC dan UMNO dan diadakan di Ibu Pejabat MIC di Jalan Rahmat.

Menurut sumber parti, pertemuan itu sememangnya menjadi perhatian terutamanya dalam kalangan ahli-ahli MIC sendiri yang ketika ini ‘beremosi’ akibat dakwaan UMNO dikatakan tidak melayan parti itu dengan elok.

“Walaupun kata Kerajaan Perpaduan dan semua parti komponen berada dalam kerajaan ini tapi adakah MIC dan MCA mendapat layanan sewajarnya?

“UMNO telah pinggirkan MIC dan MCA dalam semua jua keputusan, tengok sahaja PRN ini sehingga memaksa kedua-dua parti ini tarik diri daripada bertanding. Bagaimana pula jawatan dalam kerajaan?

“Ada juga dakwaan mendakwa ada beberapa jawatan tidak diberikan kerana tekanan parti tertentu dalam gabungan? Mengapa boleh tunduk kepada itu tetapi bukan parti komponen yang setia bersama puluhan tahun?

“Parti politik di Sabah dan Sarawak juga diberi kepentingan dalam kerajaan dan tidak kepada MCA serta MIC, mengapa begitu?” soalnya.

Kata sumber itu lagi, pertemuan Anwar dengan kepimpinan MIC juga berkaitan PRN yang sedang berlangsung ketika ini dengan rata-rata penyokong, ahli MIC dikatakan sudah beralih kepada Perikatan Nasional (PN).

“Ramai muak dan bosan menunggu sesuatu yang tidak kunjung tiba. Memang ada ahli MIC sudah sertai PN, ada juga yang sedang merancang dan penyokong malah masyarakat India juga seperti menyokong serta mengiktiraf PN.

“Namun sehingga kini, MIC mahupun MCA masih lagi secara berterusan menyokong kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri walaupun kedua komponen tidak mendapat apa-apa.

“Kita tunggulah apakah yang akan diperkatakan oleh Yang Amat Berhormat PM esok, harapnya tidak ada lagi ungkapan bahawa MIC dan MCA adalah masalah BN lagi, beliau perlu campur tangan,” katanya.

Semalam Anwar mendedahkan beliau akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan MIC hari ini bagi membincangkan salah faham yang berlaku kerana MIC juga dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

Namun pertemuan itu ditunda esok. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anwar jumpa Presiden MIC perjelas isu ‘salah faham’ dengan UMNO

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast