ALOR SETAR – Beberapa hari selepas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan beliau mengenali seorang warga China yang dikaitkan dengan kecurian unsur nadir bumi (REE), Datuk Saifuddin Nasution Ismail hari ini mendedahkan bukti baharu mengenai isu berkenaan.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, antara bukti yang dikemukakan adalah sekeping gambar Sanusi bersama individu yang didakwa bernama So Loi Fat dan dokumen iaitu surat permohonan kad ikhtisas yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Muhammad Sobri Osman.
“Jelas, ada permohonan Pas Ikhtiasas (PLIK) kepada dua warga China ini dengan majikannya adalah MBI. Kini penafian dibuat oleh pengurusan tertinggi perbadanan itu. Saya alu-alukan laporan polis dibuat, kerana ini akan membolehkan siasatan terus dijalankan.
“Terang ada surat dari Menteri Besar dan CEO MBI dengan nama dua warga China yang saya bangkitkan berkali-kali. Menteri Besar harus bertanggungjawab menjawab soalan yang dibangkitkan.
“Jangan kalih pada isu lain. Ini ruang dia berikan penjelasan dari sudut tatakelola sebuah kerajaan. Mengelak bukan satu pilihan buat Sanusi,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) menjelaskan, individu yang dipercayai So Loi Fat di dalam gambar tersebut adalah seorang daripada dua pekerja mahir yang dibawa masuk Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.
Saifuddin Nasution berkata, pendedahan yang dibuat beliau hari ini adalah bagi memberikan gambaran mengenai kepincangan yang dibuat dalam pentadbiran Sanusi.
Ia selepas MBI dikaitkan dengan kejadian kecurian bahan mineral tersebut.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin Nasution berkata, kedudukan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah dalam Lembaga Penasihat MBI juga menunjukkan adanya konflik kepentingan yang wajar disiasat.
Jelasnya, keraguan timbul apabila jabatan itu tidak mengambil membuka kertas siasatan ke atas rampasan lebih 360 guni bahan REE Januari lalu. – MalaysiaGazette