KUALA LUMPUR – Pemenang pingat emas Sukan SEA acara 400 meter (m) lelaki, Umar Osman terus menampilkan larian bertenaga apabila sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan miliknya pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu, China, hari ini.
Atlet berusia 20 tahun itu merekodkan 46.09 saat (s) untuk berada di tempat ketiga saingan separuh akhir ketiga di Stadium Shuangliu Sports Centre, sekali gus menyaksikan beliau layak ke final esok selepas berada di tempat keempat secara keseluruhan.
Atlet Australia, Reece Nathaniel Holder muncul pelari terpantas pada separuh akhir bagi acara tersebut selepas mencatat 45.75s, juga di separuh akhir ketiga.
Semalam, Umar mencatat 46.33 s pada pusingan saringan untuk menamatkan saingan di tempat kedua secara keseluruhan sekali gus memecahkan rekod kebangsaan 46.34s yang beliau lakukan pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Mei lepas.- Bernama