Amirudin diraikan masyarakat India dalam program ziarahnya di Kampung Indian Settlement DUN Sungai Tua.

GOMBAK – Masyarakat India di Selangor dinasihatkan terus mengekalkan perpaduan dalam kalangan mereka di bawah satu bumbung iaitu Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau bimbang perpaduan yang terjalin sejak sekian lama dengan masyarakat itu boleh tergugat dengan elemen perpecahan akibat dakyah daripada pihak tertentu.

Katanya, Kampung Indian Settlement, Batu Caves contohnya, merupakan antara perkampungan terawal masyarakat India di Selangor yang hidup dalam harmoni dan bersatu padu.

“Sejak 2008 lagi saya sentiasa berkunjung dan bertemu dengan penduduk di sini. Pelbagai aktiviti dan program kami laksanakan bersama-sama.

“Inilah elemen perpaduan dalam kehidupan rakyat di Selangor. Kami hidup aman harmoni, mengamalkan kepercayaan masing-masing dan menghormati agama yang lain.

“Namun, perpaduan ini akan dirobek dan dimusnahkan oleh agen perpecahan yang tidak senang dengan kehidupan harmoni rakyat. Mereka meniupkan kebencian antara satu sama lain,” katanya dalam program santuni rakyat di DUN Sungai Tua di sini, semalam.

Menurut Amirudin, pihak berkenaan tidak ada idea untuk membangunkan Selangor, melainkan tahu meniru atau copy paste idea orang.

Ujar beliau, Perikatan Nasional (PN) ini tiada tempat di bumi Selangor yang berdaulat.

Sementara itu, dalam program berasingan, beliau berkata, PH dan Barisan Nasional (BN) mempunyai perancangan komprehensif untuk membangunkan tiga perbandaran baharu iaitu di Sabak Bernam, Sepang dan sepanjang Sungai Klang.

Kata beliau, projek yang diketuai PKNS dan MBI itu akan membina rumah mampu milik untuk rakyat dan membina bandar baru untuk didiami anak muda.

Amirudin (tengah) bersama keluarga yang terkesan akibat ribut dan menyampaikan sumbangan daripada MBI bagi meringankan beban mereka.

Dalam program itu, beliau menyaksikan penyerahan sumbangan oleh MBI kepada 152 keluarga yang terkesan akibat kejadian ribut pada Jun lalu.

Turut disampaikan adalah bantuan kepada nelayan untuk membaikpulih jeti Kampung Kelanang, Morib.

“Ini adalah sebahagian daripada permohonan mereka yang telah diluluskan lebih awal hasil dari luahan hati penduduk semasa Jelajah Selangor Penyayang yang lepas,” katanya.

Dalam majlis di Rawang pula, Amirudin yang juga calon DUN Sungai Tua turut berkongsi tawaran subsidi haji sebanyak RM2,000 apabila PH-BN menang pilihanraya ini.

“Malah, kami turut berikrar menyediakan 200,000 rumah mampu milik yang selesa untuk rakyat.

“Kepada penduduk Rawang, undilah calon dari PH, Chua Wei Kiat kerana beliau calon muda yang membawa banyak pembaharuan sebagai ADUN Rawang sejak 2018.

“Insya-Allah kemenangan ini bukan baik untuk penduduk setempat sahaja, malah seluruh rakyat Selangor bakal menikmati Tawaran 5 Tekad 5 Tahun,” katanya. – MalaysiaGazette