Dua rakan masing-masing dihukum penjara lima tahun dengan dua sebatan dan penjara lapan tahun dengan tiga sebatan, atas kesalahan merompak berkumpulan terhadap seorang pekerja hotel di Simpang Renggam Julai lalu.

KLUANG – Dua rakan  masing-masing kenakan hukuman penjara dan sebatan atas kesalahan merompak berkumpulan terhadap seorang pekerja hotel di Simpang Renggam Julai lalu.

Tertuduh, Muhammad Arif Mohammed Kasim, 26, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dengan dua sebatan manakala Kajenthiran Subramaniam, 37, dihukum lapan tahun penhara dan tiga sebatan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mujib Saroji, menjatuhkan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Muhammad Arif  juga dikenakan hukuman penjara lima tahun dengan satu sebatan oleh hakim selepas mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu merompak sebuah hotel di bandar Kluang bersama seorang lagi yang masih bebas.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap 25 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh bersama melakukan rompakan bersenjatakan sebilah parang dan spanar ke atas Ismail Noordin, 60, dengan mengambil telefon bimbit jenama Oppo berwarna hitam dan wang tunai kira-kira RM200 di kaunter hotel Z Stay In Hotel di Simpang Renggam kira-kira pukul 7.40 pagi pada 25 Julai 2023.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh, Muhammad Arif bersama seorang lagi suspek yang masih bebas didakwa melakukan kesalahan sama terhadap Nur Safika Norddin, 30, dengan merompak telefon bimbit jenama Vivo dan wang tunai kira-kira RM350 di Hotel Ria, Jalan Sultanah kira-kira pukul 12.55 malam pada 5 Julai 2023.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan hukuman ringan dengan alasan mereka adalah penanggung utama keluarga.

Tertuduh, Muhammad Arif mempunyai dua orang anak berusia 6 bulan dan 4 tahun, selain isteri sedang mengandung sebulan.

Manakala Kajenthiran mempunyai isteri yang sedang mengandung tiga bulan dan perlu menjaga ibu mertua yang sudah uzur.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Ramizah  Razli memohon kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman setimpal berikutan kesalahan merompak menggunakan senjata.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast