SEOUL – Pyongyang mengesahkan, Travis King askar yang dakwa lari ke negara ini berada ‘penjagaannya’, kata komando Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Askar berusia 23 tahun itu meluru merentasi sempadan dari Korea Selatan pada 18 Julai semasa dalam lawatan berpandu.
Menurut PBB, ia tidak akan memberikan butiran lanjut mengenai tindak balas Pyongyang pada masa ini.
Ia “tidak mahu mengganggu usaha untuk membawa King pulang”.
Bagaimanapun, jawapan itu menunjukkan Pyongyang bersedia untuk memulakan rundingan.
Komando PBB, yang mengawal Zon Demiliterisasi (DMZ), telah mendapatkan maklumat mengenai King dengan menggunakan talian telefon terus kepada Tentera Korea Utara di Kawasan Keselamatan Bersama.
“KPA telah memberi maklum balas kepada Komando Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung King. Untuk tidak mengganggu usaha kami untuk membawanya pulang, kami tidak akan menjelaskan secara terperinci pada masa ini,” kata satu kenyataan.
Korea Utara sebelum ini mengakui terdapat permintaan itu tetapi ini adalah kali pertama mereka memberi maklum balas, mengesahkan tentera Amerika Syarikat itu berada dalam tahanan mereka.
Korea Utara tidak memperakui hak penjagaan King secara terbuka.
Sebelum King menyeberangi sempadan, askar itu menjalani tahanan selama dua bulan di Korea Selatan atas tuduhan menyerang. Dia dibebaskan pada 10 Julai.
Dia sepatutnya terbang pulang ke AS untuk menghadapi prosiding tatatertib tetapi berjaya meninggalkan lapangan terbang dan menyertai lawatan DMZ.
Dia adalah pakar peninjau yang telah berkhidmat dalam tentera sejak Januari 2021 dan berada di Korea Selatan sebagai sebahagian daripada gilirannya. – Agensi