KUANTAN – Seramai 50 peserta Ekspedisi Simulasi Menyelamat di Altitud Tinggi @Mardi Himal, Nepal sudah lulus ujian ketahanan fizikal dan mental bagi persiapan pendakian itu.
Ketua ekspedisi yang Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, kumpulan pendakian tersebut telah melalui latihan intensif sejak tiga bulan lepas.
Menurutnya, latihan tersebut dijalankan bagi mempersiapkan peserta kerana cuaca di Nepal pada tahun ini dijangka tidak menentu dan memberi cabaran kepada para pendaki.
Ekspedisi ke Mardi Himal Base Camp di ketinggian 4,500 meter mulai 7 Ogos dan dijangka berakhir pada 17 Ogos ini.
Pendaki yang terlibat terdiri daripada pelbagai agensi termasuk 16 orang dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kelab Media Pahang (4), Pejabat Sultan Pahang (13), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (5), Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (3) dan lain-lain.
“Latihan dan pemilihan pusat telah diadakan di Gunung Bunga Buah, Genting Highlands, pendakian Pine Tree Hill di Fraser Hill, pendakian tangga di Menara Kuala Lumpur atau KL Tower dan pendakian Menara Kuantan 188,” katanya.
Nor Hisham berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelepasan Kontinjen ke Ekspedisi Simulasi Menyelamat Altitud Tinggi @Mardi Himal, Nepal sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-64 Sultan Pahang di Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyempurnakan majlis tersebut.
Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: