KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim bersedia untuk menerima jemputan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk berdebat.
Bagaimanapun Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, sewajarnya acara berkenaan diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) selesai.
Menurut Adam Adli, ketika kempen PRN sedang hangat berlangsung ‘pentas’ yang ada sewajarnya diberikan kepada calon-calon yang bertanding.
“Saya cadangkan sempena PRN ini, kita beri peluang dahulu kepada calon-calon muka baharu kita berdebat. Beri tumpuan kepada suara mereka.
“Biar mereka dapat lebih pendedahan berbanding kita yang ada kelebihan dari segi perhatian media dan masyarakat selama ini. Ini masa untuk serlahkan mereka.
“Urusan antara kita ini boleh diadakan selepas selesai PRN. Insya-Allah. Tetapkan perimeternya nanti,” katanya dalam media sosial yang turut mengucapkan terima kasih kepada Syed Saddiq atas pelawaan tersebut.
Katanya, biar pun janggal untuk mengadakan debat antara dua ahli Parlimen kerajaan dengan disertai oleh seorang ahli Parlimen pembangkang namun cadangan itu disifatkan menarik.
Pentas debat berkenaan boleh dijadikan medan untuk merungkai banyak perkara agar isu-isu yang dibangkitkan menjadi jelas kepada masyarakat.
Semalam Syed Saddiq menjemput Adam Adli dan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari untuk berdebat secara terbuka mengenai cabaran yang dihadapi oleh belia pada masa kini.
Debat terbuka itu diadakan bagi memberi peluang untuk menyampaikan polisi dan inisiatif parti masing-masing.
Syed Saddiq berkata, acara berkenaan bagi menyambut seruan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli agar perbahasan isu-isu negara dilakukan secara berdebat.
“Dua pimpinan anak muda dalam parti masing-masing yang saya hormati. Saya setuju bahawa kita memerlukan banyak ruang dan peluang bagi pemimpin negara kita berbahas, bertanding, bertembung.
“Dengan mengemukakan idea, solusi dan polisi bagi menyelesaikan masalah-masalah terutamanya masalah orang muda yang semakin mencabar pada hari ini,” kata Syed Saddiq melalui ciapan di Twitter.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, sudah sampai masanya untuk menjadikan debat sebagai satu budaya.-MalaysiaGazette