KUALA LUMPUR – Raja pop legenda, Jamal mengakui pada mulanya agak skeptikal untuk menerima pelawaan Shiraz Projects untuk menganjurkan konsert berskala besar iaitu Jamal Abdillah Live In Concert .

Bapa kepada lima anak itu berkata, pihak Shiraz Projects mempelawanya untuk menganjurkan konsert itu kira-kira enam bulan lalu.

Namun Jamal, 64, mengambil masa selama tiga bulan untuk bersetuju kerana memikirkan sama ada masih ada peminat akan membeli tiket dan hadir menonton persembahannya.

“Tapi saya percaya dengan Shiraz Projects sebab pihak mereka sudah banyak menganjurkan konsert artis tempatan dan antarabangsa. Jadi, saya terima pelawaan mereka.

“Sekurang-kurangnya saya dapat berinteraksi dengan peminat dengan lebih dekat lagi pada konsert malam itu. Kapasiti dewan pun sekitar hampir 3,000 penonton,” ujarnya pada sidang media konsert itu baru-baru ini.

Konsert itu diadakan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 9 September ini.

Dalam konsert yang sama, Jamal bakal membawakan sekitar 15 buah lagu popularnya dan berduet dengan seorang penyanyi lelaki terkenal yang masih belum boleh dikongsikan kepada umum.

“Saya tak boleh dedahkan siapa penyanyi lelaki yang akan berduet dengan saya. Saya kena menghormati pihak penganjur yang sudah menetapkan beberapa syarat.

“Selain itu, saya juga berhasrat nak bawa sekali anak-anak saya iaitu Yamani Abdillah dan Zaki Yamani. Saya sudah maklumkan pada pihak Shiraz Projects tentang hasrat saya itu pada awal perbincangan untuk menganjurkan konsert ini.

“Tapi anak-anak saya terikat dengan syarikat pengurusan lain, jadi pihak penganjur perlu membuat perbincangan dulu,” jelasnya.

Tiket boleh dibeli menerusi www.myticket.asia. – MalaysiaGazette