KUALA LUMPUR – Tindakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim untuk berdebat hanya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ditempelak Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurut Ahli Parlimen Muar itu, alasan PRN yang dikemukakan Adam Adli dilihat tidak selari dengan tindakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mencabar beberapa pemimpin lawan berdebat ketika pilihan raya sedang berlangsung.
“Bila timbalan presiden parti saudara cabar pemimpin lain, tiada pula alasan ini timbul. Kena konsisten!
“Rafizi pun bukan calon PRN tapi tiada masalah untuk dia berbahas dan cabar mencabar yang lain,” katanya dalam kenyataan.
Adam Adli hari ini menerima pelawaan Syed Saddiq untuk berdebat mengenai isu anak muda namun mencadangkan agar program itu dilakukan selepas PRN berlangsung.
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu, ‘pentas’ yang ada sewajarnya diberikan kepada calon-calon yang bertanding.
Bagaimanapun Syed Saddiq tidak bersetuju dengan alasan yang diberikan oleh Adam Adli.
Beliau menegaskan, sekarang adalah masa yang tepat untuk pemimpin menggunakan platform yang sesuai untuk membahaskan isu, manifesto dan solusi untuk rakyat.
Ia seperti mana Rafizi yang juga Menteri Ekonomi mencabar beberapa pemimpin parti lawan untuk berdebat tentang perihal ekonomi negara.
“Rakyat ingin tahu apa pelan pemimpin muda bagi masalah-masalah dihadapi anak muda kita hari ini. Isu gaji bermaruah, hutang pendidikan tinggi, keciciran pelajar, peluang pekerjaan rendah, harga mampu tengok tak mampu milik.
“Isu-isu ini adalah isu yang beterusan, sekian lama dan sehingga kini tidak ada satu pelan yang jelas untuk selesaikan isu anak muda,” kata Syed Saddiq.
Serentak itu Syed Saddiq menjemput Kelvin Yii selaku Ketua Pemuda Pakatan Harapan untuk mengantikan Adam Adli bagi membentangkan pelan parti itu mengenai permasalahan anak muda.
Selain Adam Adli, Syed Saddiq turut menjemput Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari untuk berdebat dan cabaran itu telah pun disahut.
Sebelum ini, Rafizi mencabar bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk berdebat dengannya mengenai ekonomi Malaysia.
Selepas cabaran itu ditolak, Rafizi kemudiannya mempelawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula menggantikan Mohamed Azmin.
Sekali lagi, hasrat Rafizi tidak tercapai kerana Muhammad Sanusi juga menolak pelawaan itu.
Pelawaan ketiga Ahli Parlimen Pandan itu kemudiannya terarah kepada Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Sulaiman yang akhirnya menyambut cabaran Rafizi.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: