Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar bercakap kepada MalaysiaGazette di Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor, hari ini. Foto: NIZAM ZAIN

KUALA SELANGOR – Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar mengakui kini lebih tenang bersama Pas dalam Perikatan Nasional (PN) berbanding parti lamanya, UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, walaupun pada mulanya agak kekok bersama pemimpin dan akar umbi Pas namun sejak penubuhan Muafakat Nasional (MN) sebelum ini banyak mengubah dirinya sehingga penyertaan beliau di dalam PN.

“Iya la tu (rasa tenang), saya itu betul, bila saya duduk sebelah sini (PN), saya rasa tenang, pilihan saya cukup tepat.

“Sebelum ada MN, memanglah orang kata ini sebelah Pas tapi saya tak pilih bulu. Dulu bila saya nak pergi sembahyang tarawih, saya rasa segan, rasa eh orang ni nak ke terima, orang nak salam kita pun segan-segan.

“Bila MN wujud, lagi saya cukup terasa, memang semangat kerjasama, saya pemimpin di sini (Tanjong Karang), (bila) saya pergi mana-mana tempat, saya tengok sambutan dan harmoni itu cukup baik,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar bersalaman dengan calon PH-BN N09 Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri di tapak pasar Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor, hari ini.
Foto: NIZAM ZAIN

Terdahulu Noh bersama anak perempuannya selaku calon PN N09 Permatang, Nurul Syawani Noh bertembung dengan calon PH-BN, Mohd Yahya Sahri semasa melakukan walkabout di tapak pasarĀ  Kampung Sungai Belimbing.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu juga melahirkan keyakinan hanya PN boleh menguatkan perpaduan ummah, sekaligus memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Bila saya tengok dari segi sokongan, kerjasama, memang PN ini akan menggantikan BN. BN sekarang sudah jadi kalau pemain divisyen ketiga, dulu BN jadi divisyen pertama, sekarang sudah jadi divisyen ketiga.

“Sekarang kita lawan dia dan akan bertembunglah, Insya-Allah kita (PN) boleh menang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette