wanita pkr
Fadhlina Sidek dan Nurul Izzah Anwar bergambar bersama para peserta Wanita Question Time di Seremban, malam ini. - Foto: Shahrin Zamzuri

SEREMBAN – Wanita PKR akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan yang meletakkan hanya lima orang sahaja calon wanita untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ketuanya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menghormati keputusan yang dibuat secara bersama itu.

“Tetapi saya fikir yang paling penting adalah memastikan kelima-lima calon masuk, kelima-limanya menang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Wanita Question Time anjuran Wanita PKR di sini, malam ini.

Lima calon wanita dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan ialah Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid (Juasseh), Norwani Ahmat (Paroi), Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (Ampangan), Noorzunita Begum Mohd Ibrahim (Pilah) dan Nicole Tan Lee Koon (Bukit Kepayang).

Sementara itu, Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata, pasukan dari kementeriannya telah pergi ke Sabah dan Sarawak untuk mengenal pasti lokasi, isu dan kekangan untuk mewujudkan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di dua negeri tersebut.

“Cabaran pertama telah kita atasi, kanak-kanak telah pun dikenal pasti dan dalam masa terdekat kita dah boleh mulakan program itu di Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Beliau menambah, program yang sama akan diperluaskan di negeri-negeri lain sekiranya terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

“Kalau di Pulau Pinang ada isu tanpa dokumen, kanak-kanak rentan, kita boleh gerakkan di situ.

“Mereka ini tidak mengikuti sistem persekolahan arus perdana, ada modul khas untuk mereka kerana sasarannya adalah kanak-kanak rentan,” katanya. – MalaysiaGazette