Mohd Isa Abu Kasim

SERENDAH – Calon Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim yakin pengundi membuat keputusan terbaik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Malah Mohd Isa yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali pada 2013 itu merasakan kehadirannya semula  mendapat reaksi positif penduduk setempat.

“Alhamdulilah, dicalonkan kembali sememangya diterima baik tidak kira penyokong UMNO atau BN. Lebih unik apabila kali ini kita turut disertai oleh jentera PH untuk membantu membawa kemenangan besar.

“Sebenarnya come back saya ini bukanlah secara tiba-tiba sebaliknya walaupun tidak tidak tercalon pada PRN lepas tetapi saya tidak pernah hilang tapi terus aktif menyantuni penduduk di Batang Kali.

“Penerimaan penduduk sangat baik kerana saya anak tempatan di sini, saya pernah menjadi wakil rakyat di sini pada 2008 hingga 2013. Itu juga antara sebab mengapa saya yakin dengan sokongan masyarakat yang mengenali saya selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program mesra rakyat di Klinik Kesihatan Serendah baru-baru ini.

 

Mengulas kehadirannya di Klinik Kesihatan itu, Mohd Isa berkata, tinjauan beliau mendapati jumlah pesakit semakin tinggi walhal itu satu-satunya klinik di Serendah.

Datuk Mohd Isa hadir menyantuni penduduk di Klinik Kesihatan Serendah.

“Saya telah dapat aduan banyak kali tentang jumlah pesakit yang terlalu tinggi sehinggakan ada mencapai 800 hingga 1,000 orang dalam sehari, pastinya angka itu tidak dapat menampung jumlah pesakit di kawasan Batang Kali ini.

“Juga sukar untuk penduduk di sini kerana di Bahagian Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa masih belum ada klinik yang seumpama ini. Jadi antara tawaran yang diberikan kepada penduduk di sini adalah untuk mewujudkan sebuah klinik yang sebegini di kawasan Bukit Sentosa.

Membangunkan prasarana kesihatan antara tujuh tekad yang saya senaraikan dan akan dilaksanakan sekiranya saya dipilih sebagai wakil rakyat di DUN Batang Kali. Bukan sahaja pembinaan klinik baru di Bukit Sentosa tapi kemudahan ambulan percuma juga akan disediakan.

“Ini merupakan antara manifesto saya dan andai diberikan mandat saya akan pastikan ianya dilaksanakan dengan kadar segera,” ujarnya.

Kerusi DUN Batang Kali sebelum ini pernah diisytiharkan kosong berikutan penyandangnya, Harumaini Omar gagal hadir tanpa kebenaran semasa persidangan dewan DUN Selangor melebihi enam bulan sejak 28 Julai tahun lalu.

Kerusi itu pernah dimenangi Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pada 2018 dengan majoriti 8,315 undi.

Harumaini memperoleh 21,536 undi berbanding 13,221 yang diperolehi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan. – MalaysiaGazette