SEREMBAN – Tumpuan perlu diberikan terhadap usaha melahirkan lebih ramai doktor dalam kalangan rakyat Sarawak agar mereka dapat berkhidmat di negeri sendiri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara isu yang dikenal pasti adalah doktor-doktor yang berasal dari negeri lain termasuk di Semenanjung agak keberatan untuk berkhidmat di Sarawak.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya memberitahu, antara alasan mereka adalah lokasi yang jauh di pedalaman dan kemudahan asas kurang lengkap berbanding di Semenanjung.
“Itu salah satu faktor yang menyebabkan ramai tak nak bertugas di Sarawak dan pedalaman. Saya kira tumpuan kita patut melahirkan anak-anak tempatan yang ada kelayakan untuk menjadi doktor dilatih supaya mereka ini nanti mahu bertugas di negeri sendiri,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian kepada pemberita pada program Trek Komoditi Zon Tengah Semenanjung 2023 di Kampung Kuala Sawah, Rantau di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas saranan Timbalan Premier Sarawak, Dr Sim Kui Hian baru-baru ini agar doktor kontrak yang berkhidmat di Sarawak diserap dalam skim perjawatan tetap.
Selain itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni dilaporkan berkata, seramai 50 daripada 619 pegawai perubatan menolak tawaran jawatan tetap di fasiliti kemudahan awam di Sarawak.
Fadillah menambah, proses menyerap doktor kontrak di Sarawak ke skim perjawatan tetap perlu mempertimbangkan banyak perkara dan ia melibatkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Yang lebih utama, bagaimana kita nak lahirkan doktor-doktor yang berasal dari Sarawak. Maknanya di peringkat universiti lagi pengambilan itu kita kena tentukan,” jelasnya. – MalaysiaGazette