kebocoran data UiTM
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa kerajaan pusat akan bertukar sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang besar pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) tidak lama lagi hanya ‘cakap-cakap’ untuk mengelirukan dan meraih sokongan  daripada pengundi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin berkata, perkara tersebut hanya akan berlaku apabila Ahli Dewan Rakyat menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Dalam masa yang sama tambahnya, wakil rakyat kini sudah terikat dengan Akta Anti Lompat Parti.

“Kerajaan pusat hanya akan bertukar jika wakil-wakil rakyat yang menyokong Kerajaan Perpaduan beralih sokongan.

“Tetapi kita juga tahu ada Akta Anti Lompat Parti secara individu itu tidak mungkin akan berlaku. Sebab macam UMNO, kalau lompat maka kita ada perjanjian maka kerusi itu akan kosong jadi tidak semudah itu.

“Kita percaya bahawa cakap-cakap itu hanya mahu mengelirukan pengundi bagi tujuan meraih sokongan. Saya yakin ini tidak akan berlaku,” katanya ketika ditemui di Majlis Pecah Tanah Projek Laman Ilmu @ Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tambah Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, rakyat perlu memberi peluang Kerajaan Perpaduan mentadbir demi memastikan matlamat menjayakan Merangka Ekonomi Masani dapat dicapai.

“Satu perancangan yang sangat besar dan drastik. Kalau kita lihat Madani menggesa kepada soal pengamalan nilai-nilai di kalangan masyarakat supaya dalam diri ada kekuatan bukan sahaja fizikal, kebendaan tetapi rakyat mesti ada kekuatan pemikiran dan rohani.

“Bukan muda kemukakan perancangan sebegini, ia melibatkan transformasi. Cabaran berbeza kalau pakai cara lama,” katanya.

Semalam Hadi  yang juga Timbalan Pengerusi PN ketika berucap di Merchant Square, Bandar Sendayan berkata kemenangan perikatan itu sangat penting untuk menukar kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan lanjut bagaimana pertukaran berkenaan boleh berlaku. – MalaysiaGazette