Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar peranti, Samsung Malaysia dan Honor Malaysia, akan menawarkan pakej perkhidmatan internet, Pakej 5G Rahmah dan Insentif Postpaid Rahmah Penjawat Awam, yang lebih murah berbanding pakej sedia ada di pasaran.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Pakej 5G Rahmah terbuka untuk dilanggan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, bagi golongan B40, sejumlah 100,000 pelanggan terawal akan menikmati Pakej
5G Rahmah dengan harga telefon pintar serendah RM120.

Tambah beliau, pakej tersebut akan berada di pasaran bermula pada 31 Ogos ini dengan kontrak langganan selama 24 bulan dan ia turut menawarkan tempoh waranti selama dua tahun berbanding setahun  tahun sebelum ini.

Sementara itu, Fahmi berkata, sebagai menghargai penjawat awam, Insentif Postpaid Rahmah Penjawat Awam diperkenalkan dengan pemberian rebat sebanyak RM10 sebulan yang akan dinikmati oleh semua penjawat awam di Malaysia.

“Ianya terpakai untuk mana-mana pakej postpaid sedia ada. Ini bermakna, penjawat awam mendapat manfaat penjimatan pakej postpaid sebanyak RM120 setahun,” katanya dalam kenyataan sambil menambah ia akan berkuatkuasa bermula 31 Ogos ini.

Pakej 5G dan insentif postpaid itu ditawarkan hasil kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan dua syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco).

Menurut Fahmi, Kerajaan Perpaduan serius dalam usaha merapatkan jurang digital serta
memastikan rakyat mendapat internet berkualiti pada harga berpatutan yang mana ia selari dengan visi dan kerangka Ekonomi Madani yang memberi fokus kepada
inisiatif mengurangkan beban ekonomi rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast