Muhammad Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak perlu lagi cemburu kepada Pulau Pinang kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membawa masuk pelaburan berpuluh bilion ke negeri itu.

Calon Pakatan Harapan (PN) bagi kerusi DUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, Menteri Besar Kedah itu sepatutnya berterima kasih kepada Anwar atas pelaburan terbaharu bernilai RM25 bilion oleh Infineon iaitu syarikat dari Jerman,

Katanya, Infineon akan membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida 200-milimeter terbesar di dunia dan kerajaan perpaduan memilih Kulim sebagai lokasinya.

Menurut beliau, projek itu adalah usaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta agensi kerajaan persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Ketua Pegawai Eksekutif Infineon, Jochen Hanebeck turut mengiktiraf peranan MITI dan MIDA dalam pelaburan RM25 bilion ini.

“Bahkan, beliau dalam satu kenyataan telah menyatakan penghargaan kepada kepada MITI dan MIDA kerana membantu Infineon mengembangkan operasinya di Malaysia.

“Secara realitinya, pada tahun 2021, sebanyak 99.7 peratus pelaburan asing diluluskan dalam sektor pembuatan Kedah tertumpu hanya satu lokasi iaitu Kulim Hi-Tech City,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Faiz, ini secara khusus adalah hasil usaha agensi kerajaan Persekutuan dan di mana pula pelaburan yang dibawa masuk oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhammad Sanusi?

Katanya, amat malang apabila Muhammad Sanusi cuba mengambil kredit di atas usaha kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar.

“Kalau betullah Sanusi ini pakar membawa masuk pelaburan, mengapa daerah lain di Kedah tidak menerima pelaburan berskala besar? Kawasan Sanusi sendiri iaitu Jeneri tidak ada syarikat besar yang melabur sehingga penduduk Jeneri merungut mengenai ketiadaan pembangunan.

“Bukan itu sahaja, mengapa lebih 3,000 rakyat Kedah berhijrah ke Pulau Pinang setiap tahun untuk mencari nafkah jika Sanusi pandai membawa masuk pelaburan?,” soal beliau.

Katanya, keprihatinan Anwar dan kabinet perpaduan yang tidak meminggirkan Kedah bukti jelas keprihatinan kerajaan perpaduan.

Dengan pelaburan besar ini, ujar beliau, Muhammad Sanusi tidak perlu lagi cemburu dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan ekonomi Pulau Pinang.

Malah, Sanusi boleh belajar dengan kerajaan Pulau Pinang jika mahu menguruskan Kedah semaju negeri itu.

“Tumpulah kepada Kedah tanpa perlu menyalahkan Pulau Pinang walaupun Kuala Lumpur juga jauh dari Pulau Pinang,” katanya. – MalaysiaGazette