KUANTAN – Percubaan empat lelaki menjual 13 ekor lembu yang dicuri gagal apabila mereka ditahan polis sewaktu menjalankan urusniaga jual beli di sebuah kandang lembu di Kampung Paya Gunong, Jerantut petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pemilik lembu-lembu itu membuat laporan berkaitan haiwan ternakannya yang hilang pada 6 Ogos lepas selepas menyedari 13 daripada 228 ekor haiwan ternakannya itu berkurangan di kandang di Felda Sungai Koyan 1, Kuala Lipis.
Usaha mengesan lembu-lembu berumur satu hingga tiga tahun itu juga dilakukan mangsa di sekitar kandang dan kawasan ladang Felda Koyan 1, namun menemui jalan buntu.
“Mangsa mula mengesyaki lembunya dicuri selepas menjumpai empat ekor lembu pengsan seperti disuntik ubat pelali,” kata Azli dalam kenyataannya, hari ini.
Tambah beliau, keesokan hari mangsa meminta bantuan daripada kenalannya untuk mengesan keberadaan lembu terbabit dan telah dimaklumkan menerusi Whatsapp Group bahawa terdapat tawaran menjual lembu di Jerantut.
Susulan menerima maklumat itu, mangsa kemudian pergi ke lokasi tersebut iaitu di Kandang Lembu Kampung Paya Gunung Jerantut Ferry dan mengesahkan lembu-lembu yang cuba dijual itu adalah miliknya.
“Mangsa kenal dengan lembu-lembunya berdasarkan saiz dan muka lembu, selain tanda khas pada telinga lembu iaitu kesan gunting pada telinga sebelah kiri atas dan pasang tag di telinga sebelah kanan,” katanya.
Pemilik lembu itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Jerantut dan keempat-empat suspek ditahan pada hari sama jam 6.30 petang.
Azli berkata, siasatan awal ke atas semua individu yang ditahan mendapati dua daripada mereka adalah penjual lembu dan dua lagi merupakan adik beradik pemilik kandang.
Manakala dua lelaki yang cuba membeli lembu hanya diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Jelas beliau, tiga daripada empat suspek yang berusia 27 hingga 48 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Anggaran kerugian dilaporkan kira-kira RM35,000. Kes diklasifikasikan sebagai Lain-Lain Curi dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















