PUTRAJAYA – Hakim Mahkamah Rayuan yang sedang mendengar rayuan saman fitnah RM10 juta oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menarik diri daripada mendengar rayuan itu.
Hakim itu, Datuk Hanipah Farikullah yang mengetuai tiga panel hakim itu bertindak demikian kerana pernah terlibat dalam permohonan semakan kehakiman yang menyentuh mengenai kuasa pendakwaan Peguam Negara dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tujuh tahun lalu.
Hanipah membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh peguam, Sangeet Kaur mewakili Kit Siang.
Sangeet telah memohon agar Hanipah yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Gunalan Muniandy dan Hakim Datuk Azmi Ariffin menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut.
“Isu utama dalam semakan kehakiman tersebut dan rayuan hari ini membabitkan dua isu utama iaitu kuasa Peguam Negara untuk mendakwa dan menghentikan pendakwaan yang kini merupakan perayu dalam rayuan hari ini.
“Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi perlu dilihat telah dilaksanakan. Oleh yang demikian, saya menarik diri daripada mendengar rayuan ini demi keadilan,” katanya hari ini.
Pendengaran rayuan Apandi yang merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak samannya terhadap Penasihat DAP itu berhubung artikel berkaitan 1MDB sepatutnya berlangsung hari ini.
Mahkamah menetapkan 4 September ini sebagai tarikh pendengaran baharu rayuan tersebut.
Pada 23 Mei 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azimah Omar menolak saman Apandi atas alasan Kiat Siang mempunyai alasan kukuh membangkitkan isu 1MDB menerusi artikel itu kerana skandal 1MDB membabitkan jenayah, menyalahi undang-undang, kesan ekonomi negara selain moral pemimpin.
Pada 5 Julai 2019, Apandi menyaman Kit Siang kerana mendakwa beliau memfitnahnya dalam artikel mengenai skandal 1MDB dengan tuntutan pemimpin veteran DAP itu menulis dan membawa kepada penerbitan artikel bertajuk, Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity dalam Malaysiakini.
Beliau mendakwa, perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau terbabit dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi Peguam Negara. -MalaysiaGazette
















