Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad.

HULU SELANGOR – Ada kebimbangan segelintir pihak kemungkinan Pakatan Harapan (PH) yang kini bergabung dengan Barisan Nasional (BN) kini berdepan dengan risiko hilang sokongan terutama dalam kalangan masyarakat India pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Namun kenyataan itu dinafikan oleh Timbalan Ketua Cabang PKR Hulu Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad yang juga pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, sokongan dan kehadiran penduduk setempat tidak kira ceramah, kempen rumah ke rumah atau sebarang aktiviti masyarakat hampir kesemuanya mendapat penerimaan positif.

“Sebenarnya sokongan masih kekal malah ia semakin memberangsangkan kerana PH sentiasa mempunyai iltizam tinggi dalam membawa perubahan kepada semua tidak kisah kaum mahupun latar belakang.

“Jika bertanya tentang pengundi India, kita yakin komuniti itu bersama kita walaupun memang ada naratif tertentu yang cuba memesongkan segelintir pengundi dan rakyat. Kalau lihat prestasi dan trek rekod, kita lebih mendahului tanpa retorik atau janji kosong.

“Sehingga saat ini, Kerajaan Perpaduan telah menunaikan kerjasama dan persefahamaan cukup baik berbanding Perikatan Nasional (PN). Tidak ada juga apa-apa insiden yang merungkaikan kerjasama antara PH dan BN malah ikatan itu juga utuh,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kata Saifuddin lagi, masyarakat India mahu pun kaum lain di Selangor juga dapat mengakui realiti kerajaan negeri yang sudah tiga penggal  menjadi pentadbir baik dan peluang itu patut diberikan sekali lagi.

“Ini bukan pencapaian kita hanya untuk menang pilihan raya sebaliknya selama ini negeri Selangor cemerlang dan manifesto ‘Lima Tekad’ merangkumi segala aspek pembangunan ekonomi, agama, sosial, pentadbiran serta pembangunan insani.

“Kita yakin dengan sokongan dan gerak kerja kita selama ini, kini semuanya di tangan pengundi kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast