GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang membuat keputusan untuk tidak mengisytiharkan 12 Ogos ini sebagai cuti khas sempena hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia susulan rakyat sudah biasa dengan pilihan raya selain Sabtu merupakan hari cuti kepada orang ramai.
“Saya percaya rakyat sudah biasa dengan pilihan raya, tambahan pula ramai yang cuti pada hari Sabtu.
“Bagi yang bekerja pada hari mengundi, kita harap semua majikan beri ruang dan masa kepada mereka keluar untuk tunaikan kewajipan mengundi,” katanya.
Terdahulu beliau mengadakan walkabout bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail di Pasar Awam Balik Pulau di sini, hari ini.
Pada 1 Ogos lalu, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng mengesyorkan supaya 12 Ogos ini diisytihar sebagai cuti khas di Pulau Pinang bagi memudahkan rakyat menjalankan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata, cadangan itu dibuat berikutan beliau bimbang peratusan keluar mengundi nanti tidak seperti Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu yang menyebabkan keputusan tidak berpihak kepada gabungan PH dan BN. – MalaysiaGazette