Tan Hum Wei

BUKIT MERTAJAM – Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubuk, Tan Hum Wei mengakui pengundi Cina menjadi penentu kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Hum Wei berkata, sokongan pengundi Melayu dan India di kawasannya yang mempunyai jumlah pengundi berdaftar melebihi 56,000 masih belum boleh menentukan kemenangannya.

“Saya belum cukup jamin sekadar memperoleh sokongan pengundi Melayu dan India di Machang Bubuk, pengundi Cina tertinggi di sini dan jika mendapat separuh daripada undi mereka pun saya gembira.

Namun ia bukan senang dan satu cabaran besar untuk saya menyantuni dan meyakinkan mereka kerana lawan dari Pakatan Harapan (PH) seorang penyandang, Lee Khai Loon.

“Saya hanya meletakkan diri saya sebagai calon underdog kerana muka baharu walaupun berstatus anak jati Berapit,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Hum Wei juga menambah kekangan dana mengakibatkan beliau dan jenteranya tidak dapat menganjurkan sebarang ceramah berskala besar seperti mana dilakukan secara agresif oleh PH.

Sebaliknya beliau hanya menggunakan kekuatan tenaga manusia yang terhad sebagai jentera kerja untuk berkempen.

Buat masa ini, katanya, dia hanya menggunakan kaedah walkabout dan mengedarkan risalah kepada setiap penduduk dan pengundi  sekitar kawasan Machang Bubuk untuk merayu undi mereka.

“Kos dana untuk kempen saya mengeluarkan wang sendiri dan saya membekalkan keyakinan diri untuk meraih undi penduduk di sini dengan meletakkan peluang 30-70.

“Lebih 40 peratus pengundi di Machang Bubuk sudah ditemui dan dirayu undi tetapi pengundi Cina yang pernah lantang bersuara dan memaki calon pada PRU15 lalu kini berdiam diri dan sukar memahami sama ada mereka sokong atau tidak.

“Saya hanya mampu merayu undi kepada mereka tetapi peti undi pada 12 Ogos ini yang akan menentukan sama ada saya sebagai muka baharu diberi peluang atau sebaliknya.

“Akan tetapi apa jua keputusannya ini satu bonus jika menang dan pengalaman bermakna jika tewas,” tegasnya.

Dengan berbaki kurang empat hari lagi, Hum Wei akan meneruskan kempen di kawasan tumpuan ramai untuk memperkukuhkan rayuan undinya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Nak sokong mcm mana? Ko duk sekapal dgn Muhyidin samun duit rakyat..lepas tu ko bersekongkol dgn PAS sesat..

Comments are closed.