KUALA LUMPUR – Penyerang muda Thailand, Suphanat Mueanta bakal beraksi di kancah Eropah musim ini selepas dia sah menyertai kelab Belgium, OH Leuven secara pinjaman dari Buriram United.
Berita itu dikongsikan oleh Asean Football di laman media sosial yang mana Suphanat yang berusia 21 tahun dipinjamkan selama setahun dan pemain itu bakal beraksi di divisyen pertama iaitu Jupiler Pro League.
Sebelum ini, Suphanat sudah dua kali dihantar ke kelab Liga Kejuaraan, Leicester City untuk menjalani latihan selama sebulan dan langkah ini menurut pemain tersebut telah membuka luas mindanya untuk menitikberatkan pelbagai aspek dalam kariernya.
Kali terakhir dia mendapat peluang tersebut adalah pada hujung tahun lalu yang mana Suphanat bersama-sama Supachai Jaided, Narubadin Weerawatnodom, Rattanakorn Maikami dan Chitiphat Tangklang telah dibawa ke kelab itu.
“Sebelum saya pergi ke Leicester City, saya tidak banyak memberikan tumpuan kepada cara untuk menjaga keadaan tubuh badan dengan betul.
“Namun saya mula menyedari bahawa saya memang agak jauh ketinggalan daripada segi fizikal dan tahap profesional di sana juga sangat tinggi dalam kalangan para pemain serta ingin mencabar diri saya dan bermain di Eropah dengan segera,” tambah Suphanat.
OH Leuven bukan kelab yang asing untuk pemain Thailand, sebelum ini bekas ketua pasukan skuad kebangsaan negara itu, Kawin Thamsatchanan menyarung jersi kelab itu selama dua musim. – MalaysiaGazette