Gambar hiasan

SUNGAI PETANI – Polis Kedah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang didalangi anggota polis di Taman Sejati Indah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada jam 12.05 tengah hari.

Jelas beliau, hasil serbuan membawa kepada tangkapan seorang anggota polis berusia 31 tahun serta lima bungkusan dadah jenis syabu seberat 5.29 kilogram.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek aktif sejak awal tahun dan dadah bernilai RM168,000 yang dirampas itu untuk pasaran tempatan.

“Semakan air kencing mendapati suspek yang sudah berumahtangga itu negatif dadah selain tidak mempunyai rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Zaidy, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 16 Ogos depan bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette