PETALING JAYA – Selepas hampir 11 tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Farid Kamil dan isterinya yang juga pelakon Diana Danielle hari ini sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bistari.
Farid, atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 42, melafazkan cerai talak satu terhadap Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, secara dalam talian (Google Meet) di hadapan Hakim Syarie Shukran Yusof selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan wanita itu.
“Mahkamah membenarkan permohonan penceraian yang difailkan plaintif (Diana). Mahkamah mensabitkan lafaz penceraian oleh defendan (Farid) terhadap plaintif (Diana) iaitu jatuh satu talak rajie kali pertama pada 3.23 petang hari ini,” kata Shukran.
Pada 10 Mac lepas, Diana memfailkan permohonan cerai terhadap Farid mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 atas alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq serta tidak lagi mampu hidup bersama sebagai suami isteri.
Pasangan itu yang berkahwin pada 3 November 2012 dikurniakan dua anak, Muhammad, 10, dan Aurora, 8. – Bernama