P. Ramasamy.-

PERAI – Tindakan melampau seorang pemimpin dalam DAP yang dianggap ‘Maharaja’ yang melakukan penyingkiran politik atas alasan proses peremajaan dalam parti punca P. Ramasamy keluar parti.

Namun bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu tidak menamakan siapa ‘Maharaja’ yang dimaksudkannya.

Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu juga mendakwa tindakan tidak berprinsip kepimpinan parti yang turut mengugurkan lima lagi wakil rakyat muda bersamanya pada 18 Julai lalu juga punca Ramasamy terpaksa meninggalkan parti selepas 18 tahun menjadi ahli.

BACA: Ramasamy keluar DAP bukti dia tunggang parti demi jawatan – Anthony

Menurutnya, parti mempunyai hak menggugurkannya daripada senarai calon serta lima lagi ADUN lain tetapi apa yang sebenarnya berlaku dianggap penyingkiran politik.

“Saya boleh memahami mengapa pemimpin kanan digugurkan selepas keputusan dibuat pada 18 Julai lalu tetapi tiada sebab kenapa tiga calon muda iaitu Yeoh Sin Yin, Soo Lip Chee dan Satees Muniandy turut digugurkan. Ia menyebabkan saya pelik dan terkejut.

“Dua daripadanya adalah ahli Exco dan seorang lagi adalah ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang berkhidmat sepenggal bersama parti dan kerajaan negeri dengan setia.

“Ini bukan peremajaan atau pemulihan parti tetapi ternyata satu tindakan penyingkiran politik untuk mengenepikan mereka yang dibayangkan sebagai penyokong kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ramasamy juga mendakwa terdapat kemungkinan besar Kon Yew tidak akan memegang jawatan ketua menteri untuk tempoh yang penuh lima tahun akan datang sekiranya menang di DUN Padang Kota dan membentuk kerajaan negeri semula.

“Saya jelas melihat kepimpinan parti peringkat kebangsaan bergantung sepenuhnya kepada individu yang digelar ‘Maharaja’ yang dimaksudkan dan senarai calon bertanding DUN Pulau Pinang yang dikemukakan Kon Yeow selaku Ketua Jawatankuasa Negeri dengan lima keahlian juga telah diketepikan.

“Terdapat beberapa pemimpin baik dalam DAP tetapi kemerosotan ke arah politik kurang bermutu dan sikap akur kepada kempimpinan tertinggi nampaknya tak dapat dielakkan lagi.

“Tiada hairan juga kini parti DAP disifatkan sebagai parti yang mengambil haluan seperti MCA dan MIC,” ujarnya.

Ramasamy juga mendakwa perjuangan parti tidak lagi wujud dalam DAP dan sesetengah pemimpin hanya mengutamakan kuasa dan jawatan semata-mata.

DAP yang beliau kenali  tidak lagi wujud dan mengakui  berat hati untuk meninggalkan parti yang disayanginya.

“Saya sejak penamaan calon lagi telah memikirkan untuk tinggalkan parti tetapi tidak sampai hati memuktamadkannya namun berbincang teliti dengan keluarga, rakan-rakan, semua pihak berkepentingan sebelum terpaksa mengambil keputusan sukar ini.

“Sehingga saat ini selepas saya mengisytiharkan keluar parti sekarang saya masih fikir sama ada keputusan yang diambil ini (keluar parti) adalah keputusan yang tepat dan rasional atau sebaliknya.

“Apa pun saya mungkin selepas ini dipanggil ‘anggur masam’ kerana berhenti sebagai ahli parti tetapi saya tidak mempunyai pilihan lain selain mengambil keputusan paling sukar ini untuk melakar haluan politik saya pada masa hadapan,” katanya.

Ditanya  sama ada beliau menyertai parti politik lain atau tidak, Ramasamy belum lagi memikirkannya lagi.

“Saya sekarang mahu berehat dan menulis buku yang menjadi passion (minat) saya selama ini,” kata bekas pensyarah bergerlar profesor itu.

Katanya, surat perletakan segala jawatannya telah diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Chow Kon Yeow pukul 8.24 dan 8.25 pagi tadi.

Beliau juga menyesal dengan cara layanan yang diterima daripada Anthony.

“Kamu tahu tak Anthony merupakan bekas murid saya di Universiti Kebangsaan Malaysia saya mendidik dia, so dia patut ada rasa hormat terhadap pengalaman politik saya.

“Kalau dia nak gugurkan saya dia boleh panggil dengan humble dan boleh menyatakan parti membuat keputusan untuk tidak mencalonkan saya kali ini. Itu baru bersopan dan boleh dihormati.

“Saya sangat sakit hati dengan layanan yang diterima daripada bekas anak didik saya dengan cara sebegini,” kesalnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ramasamy isytihar keluar DAP

1 Komen

  1. Luahan perasaan tu menunjukkan seorang yg gila kuasa, gila pangkat dan tidak boleh menerima kenyataan yg khidmat awak tidak diperlukan kerana terlalu rasis dlm mengutarakan pendapat.

Comments are closed.