Tengku Zafrul merasmikan pembukaan GDS NTP Data Center Campus, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Malaysia bakal mengukuhkan kedudukan sebagai hab pusat data Asia susulan kejayaannya menarik pelaburan bernilai RM76 bilion dalam sektor itu antara 2021 hingga Mac lalu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, kejayaan disebabkan kelebihan Malaysia daripada segi tenaga yang boleh diperbaharui, keluasan tanah dan ekosistem ekonomi digital yang pesat berkembang.

Jelas beliau, beberapa pusat data global juga sudah melabur dan membuka operasi pusat data mereka di negara ini membabitkan Pusat Data GDS, YTL, Yondr dan AirTrunk.

“Pusat Data GDS yang saya lancarkan di sini hari ini, contohnya melabur RM4.8 bilion bagi membangunkan pusat data berteknologi tinggi. Semalam, Tenaga Nasional Bhd (TNB) juga memeterai lima kerjasama strategik melalui Perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) kepada empat pusat data bagi membekalkan kapasiti 1,500 megawatt bekalan elektrik.

“Ini menandakan satu peristiwa penting dalam sektor digital Malaysia dan landskap teknologi mampan negara sekali gus akan menarik dan memudahkan pelabur global sektor itu menjalankan perniagaan di negara ini.

“Malaysia juga mempunyai kelebihan untuk berkembang dalam sektor digital kerana faktor kemudahan infrastruktur, kecekapan kos, simpanan tanah yang banyak selain sambungan lancar ke Asia dan seterusnya melalui 22 rangkaian kabel dasar laut dan 14 stesen pendaratan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan GDS NTP Data Center Campus hari ini.

Tengku Zafrul juga berkata, Malaysia juga menjadikan ekonomi digital kini berdiri sebagai satu daripada asas ekonomi negara.

“Ia telah menyumbang nilai besar iaitu 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, atau RM348 bilion pada tahun 2021. Sumbangan sektor ekonomi digital ini dijangka akan mencapai 25.5 peratus menjelang 2025 atau lebih RM382 bilion.

“Bagi pasaran pusat data di Malaysia pula, unjurannya adalah lebih luar biasa, dengan jangkaan kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 16 peratus atau RM9.36 bilion dari 2021 hingga 2026,” katanya. – MalaysiaGazette