Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – DAP harus diberikan pujian kerana tidak meletakkan calon yang disifatkan sebagai ‘buah yang buruk dan berpenyakit’.

Pujian itu disuarakan oleh Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dalam Faceook beliau hari ini.

Mohd. Asri bagaimanapun tidak menamakan sebarang pemimpin daripada DAP yang dilabelnya sebagai ‘buah yang buruk dan berpenyakit’.

“Keputusan DAP untuk tidak mencalonkan lagi ‘buah-buah yang buruk dan berpenyakit’ patut diberikan pujian,” kata Mohd. Asri ringkas.

Kenyataan Mohd Asri hadir selepas beberapa jam bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy membuat pengumuman keluar daripada parti.

Pada 2018 Mohd. Asri dan Ramasamy pernah bertegang urat mengenai isu Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan pendakwah antarabangsa, Zakir Naik.

Pertengkaran antara kedua-dua mereka tercetus apabila Mohd Asri mencadangkan Ramasamy berdebat secara terbuka dengan Zakir Naik bagi menentukan siapa pengganas yang sebenar.

Ini selepas Ramasamy yang ketika itu Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP menyarankan kerajaan Malaysia supaya menghantar pulang pendakwah Islam itu ke India bagi menghadapi dakwaan pengubahan wang haram dan mencetuskan ketegangan agama.

Bagaimanapun pada 30 Julai 2018 kedua-dua mereka berdamai dan bersetuju tidak lagi membuat sebarang pertikaian terbuka berhubung isu LTTE dan Zakir Naik.

Persetujuan itu dicapai ketika kedua-dua mereka hadir dalam pertemuan ‘enam mata’ bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Mujahid Yusof Rawa di pejabatnya.

Mohd. Asri pada 2022 turut menegur Ramasamy agar tidak membangkitkan isu berhubung kes tiga anak Loh Siew Hong yang memeluk agama Islam di Perlis.

Ramasamy melepaskan semua jawatan dalam DAP dan mengumumkan keluar parti itu, hari ini.

DAP sebelum ini memutuskan untuk tidak mencalonkan semula Ramasamy sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri Perai yang dimenangi sejak tiga penggal lalu.-MalaysiaGazette