KUALA LUMPUR – Sebuah firma penyelidikan bebas, ILHAM Centre menjangka Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri kali ini akan ditentukan oleh undi bukan Melayu.

Kajian itu mengutip pensampelan berdasarkan populasi mengikut negeri yang dikaji dengan sejumlah 2,416 responden di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bermula pada11 sehingga 27 Julai 2023 dan ralat kesilapan ialah lima peratus dengan tahap keyakinan sebanyak 95 peratus.

Menurut ILHAM Centre, perkara itu disebabkan undi Melayu yang dilihat akan terpecah.

“Walaupun keterpecahan itu tidak serius disebabkan saingan dua penjuru berbanding tiga penjuru seperti mana PRU15, undi kelompok bukan Melayu mampu menjadi penentu (kingmaker) di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang serta kerusi bercampur di selatan Kedah.

“Ini juga melatari persepsi politik.

“Pengundi Melayu yang berada di jajaran majoriti Melayu kini condong bersama naratif yang di bawa Perikatan Nasional (PN),” jelas kenyataan tersebut.

Firma itu berkata, gelombang PN yang meraih dukungan dan sokongan kawasan majoriti Melayu dilihat masih kukuh.

“Barisan Nasional (BN) atau UMNO perlu berusaha lebih keras untuk meraih kembali sokongan Melayu yang terhakis atau pun yang hilang dalam PRU-15 lalu.

“PRN kali ini jelas menjadi ujian kelangsungan Kerajaan Perpaduan PH-BN yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelasnya.

Dalam pada itu, PRN ini juga turut menguji beberapa perkara termasuk pola pengundian orang Melayu Semenanjung yang dijangka akan lebih jelas arahnya selepas perubahan pola yang mengejutkan ketika PRU-15.

Kibaran bendera Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan yang dihiasi di sepanjang Jambatan Tok Pasai bagi menghangatkan lagi Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 09 OGOS 2023.

“Dalam pada itu, PRN juga akan melihat dinamika parti-parti politik Melayu selepasnya dalam dua konteks penting, di kerusi majoriti Melayu dan kerusi bercampur.

“Akhirnya, andai kata pola ini diterjemahkan dalam kotak undi pada 12 Ogos nanti, kerusi-kerusi majoriti Melayu terutama di zon utara dan Pantai Timur lebih mudah dikuasai oleh PN manakala PH-BN akan menguasai pengundi majoriti bukan Melayu dan kawasan bercampur.

“Begitu pun, sebahagian pengundi lebih mementingkan faktor calon dan prestasi serta kecemerlangan kerajaan negeri dalam menentukan undi yang akan diberi,” menurut kenyataan yang sama.

Menerusi kajian, ia merumuskan unjuran kepada polarisasi wilayah dan kaum akan menjadi lebih jelas selepas PRN nanti.

Pada masa sama, ILHAM Centre juga mendapati populariti Anwar, kerajaan dan dasar Malaysia Madani dalam kalangan pengundi bukan Melayu berada di tahap yang tinggi dan konsisten di kesemua enam negeri yang terlibat.

Panel Penyelidikan ILHAM Centre terdiri daripada Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif), Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi), Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik) Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan) dan Mujibu Abd Muis (Felo Penyelidik). – MalaysiaGazette