Bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dikibarkan oleh penyokong yang hadir pada Jelajah Mega Madani ketika di Laman Niaga Bandar Baru Bangi. Foto MOHD ADZLAN 07 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai masalah untuk memindahkan undi mereka di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi oleh calon Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, ahli UMNO atau penyokong BN kelihatan canggung untuk menyokong calon PH.

Dapatan tersebut hasil kajian yang dilakukan oleh firma penyelidikan bebas Ilham Centre menjelang pilihan raya di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

“27 peratus dan ke atas menyatakan sukar untuk mereka memangkah logo PH kerana faktor DAP.

“Oleh itu kadar perpindahan undi antara PH-BN adalah berbeza memaksa analisa secara mikro dilakukan setiap DUN kerana penerimaan adalah berbeza antara DUN di enam negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Kajian itu mendapati, wujud penolakan ketara akar umbi UMNO dan pengundi atas pagar yang mengundi BN sebelum ini terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Boleh dirumuskan hampir konsensus pandangan ahli UMNO akar umbi menyatakan ketidakpuasan hati kepada Presiden UMNO menyebabkan mereka tawar hati untuk mengundi PH-BN. Sebahagian besar agak pasif dan dalam mode tunggu dan lihat,” katanya.

Ahli UMNO termasuk jentera turut mengakui masih sukar untuk menerima PH atas faktor DAP dan sebahagian lagi kerana Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya UMNO gagal memberikan penjelasan dengan baik kepada akar umbi berhubung dua pendirian iaitu tidak bergabung PH dan pendirian ‘no Anwar, no DAP’

Pendirian itu diusulkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast