Gambar hiasan: Para pengundi muda menunjukkan jari yang berdakwat selepas selesai mengundi buat pertama kali pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di di SMK Bandar Kerayong, Bandar Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 19 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pengundi muda berusia antara 18 higga 29 tahun tidak kekok berkongsi kecenderungan politik mereka secara terbuka malah kini ia lebih jelas berbanding sebelum ini.

Menurut firma penyelidikan bebas Ilham Centre, tiada istilah ‘undi
adalah rahsia’ buat kumpulan pengundi yang berjumlah 4.9 juta orang itu.

Kumpulan itu katanya, selesa dalam menzahirkan sikap dan sokongan terhadap parti yang bertanding dalam pilihan raya negeri.

Sepanjang kajian mendalam dilakukan kepada kelompok ini, Ilham Centre mendapati tidak ada tanda pergerakan sokongan yang signifikan kumpulan itu kepada Kerajaan Perpaduan.

Menurut Ilham Centre, walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu agresif berdialog dan turun bertemu anak muda di kampus namun ia belum memadai untuk merubah secara peratusan besar sokongan mereka kepada parti pemerintah.

“Walaupun pelbagai rencana yang dilaksanakan Kerajaan seperti ‘rally’ Program Temu Anwar, Jelajah Kampus, pemberian e-wallet Belia RM 200 dan sebagainya namun, usaha-usaha ini belum cukup menarik minat serta melonjakkan sokongan anak muda secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, firma penyelidikan itu sekali lagi menyatakan, populariti Anwar dan prestasi Kerajaan masih berada pada tahap sederhana dan belum cukup memangkin sokongan terhadap PH-BN yang berkerjasama dalam PRN kali ini.

Selain itu, isu kos sara hidup, naik turun harga barang, kejatuhan nilai ringgit, komitmen Kerajaan melawan rasuah dan sebagainya lebih menangkap minda para pengundi.

“Walaupun pembangkang dilihat tidak berdaya dalam mengolah isu-isu besar nasional secara tuntas dan menonjolkan prestasi Kerajaan Negeri yang diterajui Pas-PN, serangan bertali arus terhadap Kerajaan kini telah berjaya membina persepsi negatif dalam kalangan pengundi.

“Secara konsisten, naratif isu-isu ini berjaya digarap ringkas, lebih mudah difahami dan disebar secara meluas melalui media sosial khususnya di Facebook dan Tik Tok.

“Dapatan kajian ini juga jelas menunjukkan Kerajaan Perpaduan tidak mempunyai naratif balas yang komprehensif dan berada dalam posisi kalah perang persepsi yang ditunjangi pembangkang,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast