Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Selain Kedah dan Terengganu, semua negeri yang melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini merekodkan peratusan keluar mengundi di bawah 30 peratus, setakat jam 11 pagi tadi.

Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan Terengganu mencatatkan 33 peratus keluar mengundi manakala Kedah merekodkan 32 peratus.

Kelantan pula mencatatkan peratusan keluar mengundi terendah dengan 26 peratus.

Ia diikuti Negeri Sembilan (27 peratus), Selangor (28 peratus) dan Pulau Pinang (29 peratus).

Jumlah mengundi  di PRK Parlimen Kuala Terengganu pula mencatatkan 30 peratus setakat 11 pagi tadi.

Sementara itu tinjauan BERNAMA mendapati cuaca di kebanyakan kawasan di enam negeri yang terbabit PRN dilaporkan cerah dan baik serta mendorong pengundi di beberapa negeri memilih untuk keluar awal iaitu sebelum pusat pengundian dibuka.

Sebanyak 3,190 pusat pengundian mengandungi 17,048 tempat mengundi atau saluran sempena PRN di enam negeri dibuka bermula 8 pagi tadi.

Turut dibuka ialah 41 pusat mengundi membabitkan 217 tempat mengundi atau saluran sempena PRK Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak.- MalaysiaGazette