LONDON – Chelsea dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan perjanjian bernilai £115 juta (RM671.9juta) untuk menandatangani Moises Caicedo daripada Brighton.
The Blues dikatakan sedia membayar £100j (RM584.3j) dengan tambahan £15j lagi (RM87.6j) bagi menyelesaikan isu perpindahan yang sudah berlarutan beberapa minggu.
Perjanjian mengikat pemain tengah Ecuador berusia 21 tahun itu diumumkan ketika pasukan bimbingan Mauricio Pochettino tersebut mengikat Liverpool 1-1 dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL), tengah malam tadi.
Pemain 21 tahun itu akan menjalani pemeriksaan kesihatan dalam tempoh 48 jam akan datang sebelum menandatangani kontrak jangka panjang di Stamford Bridge.
Caicedo hampir menyertai Liverpool minggu lalu apabila tawaran The Reds yang bernilai 100 juta pound (RM636.09 juta) diterima oleh Brighton.
Bagaimanapun pengurusan Chelsea berjaya memintas bidaan Liverpool selepas mencapai persetujuan dengan pemilik Brighton, Tony Bloom.
Bekas pakar pencari bakat Brighton, Paul Winstanley yang kini bersama Chelsea, dikatakan menjadi faktor kejayaan rundingan itu.
Chelsea sebelum ini memegang rekod perpindahan tertinggi British apabila membayar 107 juta pound (RM618.75 juta) kepada Benfica untuk mendapatkan Enzo Fernandez pada Januari.
Brighton pula mendapat keuntungan besar kerana mereka membeli Caicedo dari Independiente del Valle hanya pada harga 4.5 juta pound (RM26.02 juta) dua tahun lalu. – Agensi