tuanku muhriz
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini.

KUALA PILAH – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah, terdapat pihak yang cuba untuk menggugat kestabilan kerajaan tanpa sebarang sebab yang munasabah pada penggal lepas.

Titah baginda, sebaliknya, ia hanya bermotifkan kepentingan peribadi dan tindakan itu bukan sahaja tidak mendatangkan sebarang kebaikan, malah ia menyebabkan pentadbiran negeri terjejas dan rakyat menjadi mangsa.

Sehubungan itu, baginda mengingatkan semua wakil rakyat yang telah dipilih, bahawa mereka telah diamanahkan oleh rakyat untuk menyuarakan segala permasalahan serta keperluan mereka dalam merangka dan melaksanakan sesuatu dasar atau keputusan.

“Justeru, fokus dan keutamaan kamu adalah kepada kepentingan dan perkhidmatan untuk rakyat negeri ini.

“Ini kerana kesetiaan utama kamu ialah untuk negeri, bukannya kepada mana-mana parti politik ataupun keperluan peribadi,” titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, petang ini.

Pada istiadat tersebut, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilantik semula sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan untuk penggal ini.

Berhubung pelantikan Aminuddin, Tuanku Muhriz menaruh kepercayaan kepada beliau untuk terus berkhidmat dengan bersungguh-sungguh dan jujur.

Baginda juga amat yakin bahawa amanah yang diberikan akan dilaksanakan dengan penuh integriti dan seluruh rakyat dapat menikmati dan merasai hasil pembangunan negeri yang bertuah ini.

“Beta berpesan agar kecemerlangan yang telah ditunjukkan pada penggal yang lalu, diteruskan dan diperbaiki sekiranya ada terdapat sebarang kelemahan,” jelasnya.

Sultan Muhriz bertitah, baginda ingin terus melihat kerajaan ini ditadbir dengan asas-asas ketelusan dan akauntabiliti yang kukuh.

Di samping itu, baginda mahu semua urusan pentadbiran di jabatan-jabatan serta agensi kerajaan yang ada di negeri ini bebas daripada sebarang unsur penyelewengan serta salah guna kuasa.

“Seterusnya Kerajaan Negeri Sembilan menjadi contoh kerajaan yang bersih dan adil,” titah baginda. – MalaysiaGazette