SHAH ALAM – Kesemua 10 mayat mangsa nahas pesawat ringan Beechcraft 390 Premier 1 yang terhempas di sini petang tadi sudah ditemui.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, selain itu, pihaknya turut berjaya menemui kotak perakam suara kokpit (Cocpit Voice Recorder) milik pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) yang terhempas itu.
“Untuk makluman pada masa ini operasi mencari kesemua mayat 10 mangsa yang terkorban petang tadi telah selesai dijalankan penemuan pukul 10.30 malam tadi namun operasi akan bersambung lagi esok sekiranya masih ada anggota tubuh badan atau cebisan mayat yang hilang dan belum ditemui lagi.
“Semua 10 mayat mangsa terkorban itu akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian sebelum diserahkan kepada ahli keluarga menerusi pengecaman menggunakan padanan DNA.
“Kini tumpuan pencarian kami selepas ini adalah mengesan Perakam Data Penerbangan (Flight Data Recorder),” katanya dalam sidang media terakhir di lokasi kejadian malam tadi.
Perakam suara Kokpit yang berjaya ditemui oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Udara dan akan dibawa ke makmal forensik untuk dianalisa bagi tindakan lanjut dalam siasatan nahas ini.
“Sebenarnya kotak hitam mempunyai dua bahagian iaitu Flight Data Recorder dan Cockpit Voice Recorder.
“Kita berjaya jumpai Cockpit Voice Recorder dan selepas ini kita akan teruskan carian Flight Data Recorder,” katanya.- MalaysiaGazette