JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu ini di Muar.
Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan, berkata pengumuman calon itu akan diketuai Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu.
Katanya, pengumuman calon itu akan dilakukan selepas program berskala besar antara PH dan Barisan Nasional (BN) Johor yang akan berlangsung di kawasan Simpang Jeram, Muar.
“ Kita umumkan dua calon di dua buah kawasan. Satu calon setiap tempat yang akan jadi calon. Pakatan harapan sudah muktamadkan semua calon.
“Kita bermula dengan program di peringkat awal MB berada dengan bahagian UMNO Bakri dan selepas itu kita ada program tahlil sempena pemergian Salahudin Ayub. Tahlil itu dilakukan di masjid dan selepas itu baru kita lakukan pengumuman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat tertutup PH-BN Johor, di Bangunan UMNO Johor, hari ini.
Terdahulu mesyuarat tertutup PH-BN Johor berlangsung kira-kira satu jam setengah.
Hadir sama, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi BN Johor serta Pengerusi UMNO Johor, Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Dzulkefly Ahmad dan Naib Pengerusi AMANAH, Suhaizan Kaiat.
Sementara itu, ditanya mengenai dua calon yang diputuskan Amanah Johor, Aminolhuda yang juga Pengarah Pilihan Raya Amanah Johor berkata, kedua-dua calon adalah anak tempatan.
“Kedua-duanya juga adalah calon muka baharu selain berpendidikan tinggi serta memiliki Ijazah Sarjana.
“Siapa dua calon itu kena tunggu pengumuman Rabu depan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, BN Johor memberi jaminan akan membantu gerak kerja dan jentera menyokong dua calon diturunkan PH di dua kerusi itu.
“Ketetapan kita, mana-mana parti yang dahulu menyandang jika berlaku kekosongan mana-mana kerusi, maka parti itu akan menggantikannya.
“BN serta UMNO sedia maklum memang PH menyandang di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, maka sebab itulah pada PRK kali ini ia akan diwakili calon PH,” katanya. – MalaysiaGazette