KUALA TERENGGANU – Seorang penolong pegawai tadbir kanan sebuah jabatan kerajaan negeri Terengganu dan isterinya ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu kerana disyaki menyalahgunakan kuasa di sini hari ini.
Suami isteri berkenaan ditahan kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dengan memberi kira-kira 70 perolehan pembaikan kenderaan bernilai anggaran RM130,000 kepada syarikat yang berkepentingan dengannya.
Sumber berkata, suspek tersebut dikatakan memberi perolehan itu kepada syarikat milik isterinya selain turut mengesyorkan kerja-kerja pembaikan kenderaan jabatan berkenaan kepada bengkel yang dimiliki oleh sebuah koperasi.
Difahamkan suspek merupakan ahli lembaga koperasi dan merangkap setiausaha jawatankuasa perdagangan di koperasi tersebut.
Kedua-dua suspek berusia lingkungan lewat 50-an itu ditahan di Pejabat SPRM Negeri Terengganu semasa hadir memberi keterangan dan dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bagi proses permohonan reman esok.
Sumber itu juga menjelaskan kes itu berlaku sejak tahun 2021 sehingga 2022.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Menurutnya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette