KUALA LUMPUR – Dana Yayasan Akalbudi sebanyak RM10 juta yang diberikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada syarikat Armada Holdings Sdn Bhd adalah satu bentuk pelaburan tanpa membawa apa-apa kerugian kepada yayasan diasaskan oleh Timbalan Perdana Menteri itu.
Menurut saksi pembelaan ke-8, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali dengan nama Datuk K, dana itu diberikan kepada Armada Holdings bagi membida tender sebagai syarikat pembekal arang batu.
Dalam keterangan Khalid berkata, tindakan Presiden UMNO itu yang memberikan sejumlah wang seperti di dalam kertas pertuduhan adalah untuk tujuan pelaburan dan Armada Holdings telah menerima RM10 juta yang kemudiannya telah dipulangkan kembali ke akaun Yayasan Akalbudi.
Jumlah yang dipulangkan termasuk ‘tambahan’ nilai itu ialah RM69,722.65 dan kata Datuk K, jumlah itu adalah keuntungan daripada pelaburan yang dilaburkan oleh Ahmad Zahid.
“Pada awal tujuan adalah untuk meminta wang tetapi Datuk Seri (Zahid) dengan rela hati tanpa diminta menyatakan mengapa tidak beliau sediakan dana pelaburan RM10 juta bagi membolehkan Datuk Wasi Khan (CEO Armada Holdings) menyertai perniagaan ini.
“Dalam pemahaman saya, dana RM10 juta diberikan Datuk Seri Zahid kepada Datuk Wasi Khan masih berbentuk pelaburan tanpa apa-apa kerugian kepada pengeluaran wang itu walaupun ia tidak disebut oleh Ahmad Zahid ketika pertemuan di antara kami bertiga.
“Sebagai bekas pegawai bank yang berpengalaman luas Ahmad Zahid tahu mengenai perkara ini. Jumlah itu semata-mata untuk membolehkan Armada Holdings layak membida tender sebagai syarikat pembekal arang batu kepada TNB yang dipercayai memberikan pulangan yang baik kepada syarikat sekiranya berjaya dan bukan untuk tujuan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada prosiding pembelaan Ahmad Zahid yang sedang dibicarakan dengan 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Kata Khalid, apabila Wasi Khan tahu dirinya rapat dengan Ahmad Zahid, beliau telah meminta bantuannya untuk menguruskan satu perjumpaan dengan Ahmad Zahid di Pejabat Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya.
Khalid juga mendedahkan hubungan beliau dengan Ahmad Zahid adalah lebih 30 tahun ketika beliau masih institusi kewangan selain menjawat jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.
“Armada Holdings memerlukan modal berbayar RM10 juta untuk memenuhi syarat minima didaftarkan sebagai syarikat pembekal dan kontraktor TNB (Tenaga Nasional Berhad). Dalam pertemuan itu Wasi menyatakan hasrat untuk mengurangkan jumlah modal berbayar kepada RM5 juta.
“Namun Ahmad Zahid memaklumkan beliau tidak boleh berbuat demikian kerana ia di luar bidang kuasa dan menjadi kesalahan sekiranya campur tangan dalam urusan dan polisi yang ditetapkan oleh TNB,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khalid juga mendedahkan bagi memastikan pelaburan daripada Ahmad Zahid melalui Yayasan Akalbudi dipulangkan semula dengan selamat tanpa kerugian berserta faedah, atas dasar rasa tanggungjawab beliau memohon menjadi salah seorang penandatangan Armada Holdings.
“Ini diusul sendiri bagi pastikan hak Yayasan Akalbudi terjamin tanpa kerugian. Selepas itu saya diberitahu oleh Wasi Khan bahawa beliau menerima cek daripada Ahmad Zahid bernilai RM10 juta.
“Bagaimanapun, beliau memberitahu cek itu daripada Yayasan Akalbudi dan beliau menubuhkan Armada Holdings Sdn Bhd dengan jumlah modal berbayar RM10 juta,” ujarnya.
Wasi Khan yang dianggap sebagai adik oleh Khalid memaklumkan mengenai hasrat untuk menubuhkan syarikat pembekalan arang batu di Indonesia memerlukan modal berbayar RM10 juta.
Khalid juga tidak bersetuju dan berterusan menegaskan soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dengan cadangan bahawa dana itu adalah satu pinjaman.
Mohd Dusuki: Tidak terlintas dalam fikiran untuk tanya atau menolak pelawaan pinjaman kerana jumlah itu besar?
Khalid: Tidak.
Mohd Dusuki: Ada pernah tanya bagaimana Ahmad Zahid dapat dana itu?
Khalid: Ahmad Zahid adalah seorang ahli korporat dan usahawan serta bekas ahli perbankan yang mempunyai sumber yang pelbagai. Dana itu juga diberikan kepada Armada Holdings kerana saya.
Kata Khalid terdahulu dirinya beliau mengenali Ahmad Zahid sudah hampir 30 tahun sejak bertugas sebagai seorang pengurus bahagian pinjaman di Bank Bumiputra yang kini dikenali sebagai Bank CIMB.
“Tempoh perkenalan ini juga membuatkan saya mengenali sifat dan karakter Ahmad Zahid sebagai seorang yang pemurah, dermawan dan suka membantu apabila seseorang memerlukan bantuan.
Perbicaraan bersambung. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: