JOHOR BAHRU – Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi menjadi individu pertama menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, bulan depan.
Samsudin, 47, yang pernah bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas tiket sama, berkata beliau mahu membawa suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ke Parlimen sekiranya diberi mandat oleh rakyat di kawasan itu.
Menurutnya hasrat untuk bertanding kerana beliau melihat lebih banyak perebutan kedudukan berlaku berbanding perjuangan isu rakyat selepas berakhirnya PRU15.
“Justeru, saya berasa perlunya ada NGO yang membawa suara rakyat ke Parlimen kerana sekurang-kurangnya ada ruang untuk kita sampaikan apa yang berlaku kepada rakyat…kami yang terlibat secara langsung dalam menangani pelbagai isu pengguna hari-hari mendengar keluhan mereka.
“Saya dah tiga minggu berulang-alik ke Pulai untuk kumpulkan data dan saya lihat ramai yang terkesan dengan (kos) kehidupan sekarang, misalnya isu kenaikan harga barangan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Anak kelahiran Kluang itu berkata beliau memilih untuk bertanding atas tiket Bebas kerana tidak mahu terikat dengan parti politik.
“Isu yang saya nak bawa di Pulai ini bukan untuk memecahkan undi. Saya ingin rakyat berfikir bahawa dengan menangnya Pulai kepada (calon) Bebas tidak (akan) menggugat kerajaan, saya memberi peluang kepada pengundi sama ada mereka nak jadi hero pengguna ataupun tidak kali ini…saya letakkan kepada mereka.
“Tetapi, sudah ada suara rakyat di Parlimen dan saya adalah pembuka pintu kepada NGO lain untuk satu langkah ke hadapan lagi,” katanya.
Pada PRU15, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Dr Radzi Jidin yang mewakili Perikatan Nasional (PN) memenangi Parlimen Putrajaya dengan majoriti 2,310 undi menewaskan lima pencabarnya termasuk Samsudin dan penyandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Barisan Nasional).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram adalah pada 26 Ogos, pengundian awal pada 5 Sept dan hari pengundian pada 9 Sept.
Setakat 23 Julai, seramai 166,653 individu layak mengundi bagi kerusi Parlimen Pulai dan bagi DUN Simpang Jeram pula seramai 40,379 pengundi.
Media sebelum ini melaporkan sebanyak lapan borang pencalonan bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Muar, telah dibeli setakat Jumaat lepas (18 Ogos).
Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.- BERNAMA