Perkongsian Noryana Najwa di Instagram

KUALA LUMPUR – Hari ini genap setahun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani hukuman penjara.

Anak perempuan bekas Ahli Parlimen Pekan itu, Noryana Najwa berkata, tempoh setahun itu adalah jangka masa kezaliman yang perlu dilalui oleh Najib.

Dalam perkongsian di media sosial, Exco Puteri UMNO itu berikrar untuk sentiasa di sisi Najib dan bersama-sama meneruskan perjuangan dalam mendapatkan keadilan untuk bapanya.

“Sudah genap setahun sejak DSN dipenjarakan. Atas segala suka duka, sakit hati dan kekecewaan tahun lalu.

“Saya masih kagum dengan komitmen anda untuk sentiasa melakukan perkara yang betul dan memilih jalan yang mulia dalam dunia penipuan dan ketidakadilan yang kompleks.

“Anda pernah memberitahu saya bahawa kepimpinan adalah medan perang, penuh dengan luka dan lebam. Hanya pemikiran strategik dan daya tahan yang boleh menyediakan diri seseorang,” kata Noryana Najwa.

Najib dibawa ke Penjara Kajang oada 23 Ogos tahun lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya.

Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan ke atas Najib berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan lima panel hakim itu berkata, Mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Dalam penghakiman setebal 15 muka surat itu, beliau berkata, susulan keengganan pihak pembelaan untuk memfailkan sebarang hujahan, panel tiada pilihan lain selain memberi fokus kepada 94 alasan rayuan yang difailkan melalui petisyen sebelum ini.

Selain Tengku Maimun, panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Tengku Abang Iskandar Abang Hashim, serta Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.- MalaysiaGazette