prn tanggungjawab
BN yang diwakili UMNO hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi pada enam PRN.

PILIHAN RAYA Umum bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri telah dimuktamadkan pada minggu lalu yang membawa keputusan enam negeri yang terlibat, iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu telah mengekalkan status quo masing- masing sama seperti mana keputusan PRU pada 2018.

Namun apa yang menarik untuk difahami adalah mengenai undi etnik Cina yang masih lagi utuh, kuat dan mengukuh terhadap Pakatan Harapan, terutama sokongan terhadap DAP walaupun kali ini Pakatan Harapan berinovasi dengan tampil bersama gabungan baharu bersama UMNO, atas nama Barisan Nasional.

Dalam pada itu, terdapat beberapa insiden yang melibatkan kepimpinan DAP yang agak lantang mempertikaikan rakan koliasi baru mereka iaitu UMNO, namun sokongan etnik Cina kepada calon DAP masih lagi kuat dan terserlah polarisasi. Malah jika dilihat kepada prestasi calon DAP pada PRN yang lalu adalah amat cemerlang. Menang 46 kerusi daripada 47 kerusi atau 98 peratus kemenangan, ia merupakan pencapaian terbaik DAP.

Berbanding dengan UMNO yang hanya mampu menang 19 dari 108 kerusi (17.6 peratus) sahaja merupakan prestasi terburuk dalam sejarah penubuhannya. Ia sebenarnya membawa naratif keberkesanan dan kesilapan strategi dalam sesebuah pilihan raya. Isu terbesar sekali yang perlu dilihat ialah ketahanan sesebuah gabungan.

Apakah gabungan PH-BN ini mampu bertahan sehingga PRU 16? Dan adakah etnik Cina masih lagi percaya akan gabungan ini mampu untuk mengharungi PRU 16 bersama? Dan adakah etnik Melayu akan terus bergelumang dengan soal keetnikan dan keagamaan?

Semua ini adalah berdasarkan kepada kegagalan parti UMNO untuk memberi keyakinan kepada pengundi Melayu yang sekian lama menjadi subjek UMNO dalam pilihan raya, dan seterusnya gagal menyumbang kemenangan kepada gabungan PH-BN khususnya di kawasan majoriti Melayu seperti di negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan. Melihat kepada prestasi buruk UMNO pada PRN 2023 ini, terdapat cakap-cakap politik yang mencadangkan agar PH dan juga UMNO (BN) memikirkan kembali tautan gabungan ini samada ianya perlu diteruskan ataupun sebaliknya, baik daripada UMNO mahupun DAP dan PKR juga.

Jika dilihat kepada hala tuju gabungan PH-BN ini khususnya DAP dan UMNO, yang pada ketika ini, UMNO sememangnya semakin hilang sokongan dari pengundi Melayu, termasuklah kehilangan undi penyokong dan pendukung, apatah lagi melibatkan pengundi atas pagar. Ini berdasarkan angka-angka keputusan PRN 2023 yang membawa natijah banyak kawasan yang ditandingi oleh UMNO, hilang hampir separuh ataupun lebih 2/3 daripada undi berbanding pada PRU 14 yang lalu, walhal UMNO bertanding atas kapasiti tanpa gabungan.

Malahan undi awal juga menunjukkan UMNO gagal mendapatkan kelebihan 2/3 undi. Ini merupakan satu tamparan hebat buat UMNO dalam memposisikan kerelevanan dalam gabungan PH-BN. Bertentangan pula dengan pencapaian DAP yang menyaksikan terus meroket cemerlang pada PRU DUN 2023 kali ini. 47 kerusi yang ditandinginya, hanya 1 kerusi yang kalah di Kedah.

Keputusan ini sudah cukup untuk menggambarkan bagaimana strategi hebat dalam mengukuhkan sokongan pengundi Cina terhadap DAP. Selain daripada itu, satu perkara yang sangat jelas ialah trend bagaimana kawasan-kawasan urban terus dikuasai oleh PH. Ini sangat jelas dengan sokongan yang terus merudum bagi Gerakan yang meletakkan sebanyak 36 calon, tetapi hanya merekodkan satu kemenangan sahaja. Ia menggambarkan polarisasi etnik bukan sahaja disebabkan oleh PN malah juga penyertaan BN bergabung dengan PH juga merupakan faktor penyebab situasi ini berlaku.

Jadinya, isu sekarang adakah UMNO akan meneruskan kerjasama bersama PH pada PRU 16 yang akan datang? Adakah UMNO akan berpaling sokongan kepada PN walaupun banyak desas desus mengatakan jika UMNO masuk ke PN, UMNO akan terus dikuburkan kerana isu pertindihan kerusi yang bakal berlaku khususnya di kerusi majoriti Melayu. Ataupun adakah UMNO akan terus bersama PH namun bakal hilang terus sokongan Melayu dan hanya mengharapkan ihsan sokongan bukan Melayu. Ataupun UMNO akan bertindak luar jangkaan dengan hanya akan bersama PH dalam Kerajaan Perpaduan namun ketika pilihan raya mereka akan bertindak bergerak solo.

Apapun tindakan yang bakal diambil oleh kepimpinan tertinggi UMNO, mereka perlu melihat lebih jauh dan lebih realistik tentang polimik dan politik Malaysia khususnya orang Melayu. Politik Melayu tidak akan lari dari isu agama Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu itu sendiri.

Namun jika UMNO yakin akan dengan gabungan PH-BN ini dapat mengekalkan kesemua yang disebut di atas, satu naratif baru yang tuntas perlu di hebahkan secara meluas kepada rakyat agar rakyat tahu bahawa PH khususnya DAP akan terus mematuhi dan berpegang kepada semua isu yang dimomokkan selama ini oleh pihak PN itu adalah tidak benar. Jika gagal dalam menjelaskan semua isu ini secara tuntas dan jelas kepada rakyat, sentimen penolakan terhadap PH-BN akan terus menjadi igauan khususnya menjelang PRN 16 yang bakal berlaku empat tahun lagi walaupun pada ketika ini mereka boleh dikatakan tidur sebantal namun mimpi lain-lain.

Oleh: Dr. Mohd Azmir Mohd Nizah
Prof Madya, Pusat Pengajian Teras
Universiti Sains Islam Malaysia

Afi Roshezry Abu Bakar
Pensyarah Kanan
Jabatan Kewartawanan
Universiti Tunku Abdul Rahman