KUALA LUMPUR – Produktiviti buruh Malaysia mencatatkan pertumbuhan negatif 1.1 peratus dengan jumlah jam bekerja meningkat 4.0 peratus bagi merekodkan 9.3 bilion jam pada suku kedua 2023.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, dari segi nilai produktiviti buruh per jam bekerja pada suku kedua 2023 ialah RM40.6 (ST1 2023: RM41.2 per jam).
Manakala produktiviti buruh diukur sebagai nilai ditambah bagi setiap pekerja menunjukkan peningkatan marginal sebanyak 0.02 peratus untuk merekodkan nilai sebanyak RM23,407 (ST1 2023: 2.4%; RM23,718 per pekerja).
“Ekonomi Malaysia berkembang sederhana sebanyak 2.9 peratus, menunjukkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding kadar pertumbuhan suku sebelumnya sebanyak 5.6 peratus. Bilangan pekerjaan meningkat kepada 16.1 juta orang, atau pertumbuhan 2.8 peratus tahun ke tahun (ST1 2023: 16.1 juta orang; 3.1%),” katanya.
Merujuk kepada prestasi mengikut sektor bagi produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja, dua sektor mencatatkan peningkatan didahului oleh sektor pembinaan pada 3.5 peratus (ST1 2023: 6.5%), dan diikuti oleh sektor perkhidmatan pada 0.1 peratus (ST1 2023: 2.8 %), manakala tiga sektor mencatatkan penurunan, iaitu perlombongan & pengkuarian pada -6.7 peratus (ST1 2023: 1.6%), pembuatan pada -3.9 peratus (ST1 2023: 0.2%), dan pertanian pada -2.9 peratus (ST1 2023 :-0.8%).
Empat subsektor utama yang menunjukkan kenaikan dalam sektor perkhidmatan adalah pengangkutan & penyimpanan (5.6%); diikuti perkhidmatan lain (4.5%); Hartanah & perkhidmatan perniagaan (2.8%); dan perdagangan borong dan runcit (0.8%),
manakala subsektor lain merekodkan pertumbuhan negatif.
Sementara itu, produktiviti buruh bagi sektor pembuatan didahului terutamanya oleh subsektor produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (3.9%) dan produk tekstil, pakaian & kulit (3.8%).
Dari segi prestasi mengikut sektor bagi produktiviti buruh yang dinyatakan sebagai nilai ditambah per pekerja, sektor pembinaan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih ketara sebanyak 5.2 peratus (ST1 2023: 6.7%), diikuti sektor perkhidmatan
pada 1.0 peratus (ST1 2023: 3.1%), manakala tiga sektor iaitu Perlombongan & pengkuarian, pembuatan dan pertanian masing-masing turun sebanyak -3.0 peratus (ST1 2023: 1.9%), -2.6 peratus (ST1 2023: 0.7%) dan -1.3 peratus (ST1 2023: -0.1%).
Subsektor pemangkin bagi pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan didahului oleh Pengangkutan & penyimpanan (6.6%); diikuti hartanah & perkhidmatan perniagaan (4.9%); perkhidmatan lain (3.9%); utiliti (3.0%); perdagangan borong dan runcit (2.7%); dan makanan & minuman dan penginapan (0.5%); manakala subsektor lain merekodkan pertumbuhan negatif.
Tiga subsektor dalam sektor pembuatan menunjukkan kenaikan iaitu produk tekstil, pakaian dan kulit (8.5%); produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (3.9%); dan Minuman & produk tembakau (3.5%).
Mohd Uzir berkata, walaupun dijangkakan pertumbuhan ekonomi yang sederhana tahun ini, produktiviti buruh dijangka mencatatkan prospek yang lebih baik. – MalaysiaGazette