PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan telah mengeluarkan kenyataan media berhubung siasatan rasuah melibatkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) seperti yang ditularkan di media sosial.
Dalam kenyataan di sini, SPRM berkata, tindakan mengeluarkan kenyataan tersebut ternyata berniat jahat serta mengelirukan orang ramai.
Sehubungan itu SPRM menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan dan berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu di media sosial.
Malah, SPRM menasihatkan orang ramai agar tidak mengendahkan serta diberi amaran tidak menularkan sebarang berita yang tidak benar di media sosial membabitkan entiti itu tentang suatu siasatan.
Semalam, tular di media sosial satu kenyataan bertajuk SPRM Siasat Dakwaan Rasuah Melibatkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Bin Mohamed kononnya dikeluarkan oleh suruhanjaya itu.
Kenyataan itu mendakwa kononnya SPRM mengesahkan telah membuka siasatan berhubung dakwaan terdapat perbuatan rasuah melibatkan Zulkapli ketika berkhidmat sebgai Ketua Pegawai Eksekutif di Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang disiarkan di sebuah portal baru-baru ini.-MalaysiaGazette