A.A Anbalagan

SERDANG – Seorang suspek lelaki yang dikehendaki polis kerana disyaki terbabit dalam kes bunuh seorang kerani kewangan menyerah diri secara sukarela di Serdang pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, suspek yang dikenali dengan nama S.Dorairaj atau Tambi Chai, 43, yang diburu polis akan didakwa di mahkamah Petaling Jaya pada Isnin ini.

Tambah beliau, suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa hingga 28 Ogos ini untuk membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah di rujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya dan telah mendapat arahan pertuduhan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan bersama-sama dengan tiga orang yang telah di tuduh sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 4 Ogos lalu, seorang kerani kewangan warga India yang ditemui disumbat dalam guni plastik di sebuah premis stor buruk di Taman Bukit Serdang.

Beberapa kesan pukulan objek tumpul di seluruh badan dipercayai menjadi punca kematian mangsa yang berasal daripada Tamil Nadu, India.

Pada 5 Ogos, polis berjaya menahan 13 individu termasuk tiga wanita di sekitar Lembah Klang bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut dan daripadanya dituduh di mahkamah pada 16 Ogos lalu. – MalaysiaGazette